Pengguna Portal ePTGNS Cecah Hampir 90,000, Orang Ramai Semakin Yakin Urusan Tanah Secara Digital
Nur Syafiqah Mohd Jemmi

KUALA LUMPUR: Jumlah pengguna berdaftar Portal ePTGNS meningkat hampir empat kali ganda dalam tempoh lima tahun sekali gus mencerminkan keyakinan rakyat Negeri Sembilan terhadap penggunaan sistem digital dalam urusan pentadbiran tanah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, jumlah pengguna portal itu meningkat daripada hanya 22,741 pengguna pada tahun 2021 kepada 88,062 pengguna setakat April 2026.
“Peningkatan mendadak itu menunjukkan perubahan trend masyarakat yang kini lebih memilih urusan atas talian berbanding kaedah manual di kaunter.
“Trend rakyat Negeri Sembilan kini telah beralih daripada urusan manual kepada perkhidmatan atas talian kerana ia lebih mudah, cepat, selamat dan berkesan.
“Ini juga membuktikan rakyat di negeri ini mempunyai tahap celik IT yang tinggi serta bersedia menerima penggunaan platform digital seperti Sistem e-Tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis peluncuran Sistem e-Tanah Negeri Sembilan di sini.l, hari ini.
Selain peningkatan pengguna, jumlah transaksi digital turut menunjukkan pertumbuhan ketara apabila meningkat daripada 134,292 transaksi pada tahun 2022 kepada 234,420 transaksi pada tahun 2025.
Menurutnya, peningkatan hampir 174.55 peratus itu melibatkan tambahan lebih 100,000 urusan yang dilaksanakan secara dalam talian.
Nilai transaksi bagi pendaftaran urus niaga dan bukan urus niaga melalui sistem e-Perserahan juga meningkat daripada RM38.751 juta pada tahun 2024 kepada RM49.887 juta pada tahun 2025.
Kutipan hasil tanah secara dalam talian turut merekodkan lonjakan memberangsangkan apabila meningkat daripada RM24.482 juta pada tahun 2022 kepada RM109.633 juta pada tahun 2025.
Setakat April tahun ini, kutipan hasil tanah secara online telah mencecah RM44.794 juta melibatkan 107,380 transaksi digital, melebihi 300 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Perkembangan itu menggambarkan skala pengurusan tanah yang semakin kompleks dan memerlukan satu sistem lebih moden, cekap serta bersepadu.
“Sehubungan itu katanya, pelaksanaan Sistem e-Tanah versi 2.0 ini bakal menjadi langkah strategik Kerajaan Negeri dalam mentransformasikan pentadbiran tanah ke arah lebih telus, pantas dan responsif terhadap keperluan rakyat serta pelabur.
“Dalam era digital hari ini, kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan,” tambah Aminuddin
Sistem itu dijangka mempercepatkan pelbagai urusan tanah termasuk pendaftaran pindah milik yang ketika ini mengambil masa sehari dan disasarkan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa jam selepas pelaksanaan e-Tanah.
E-Tanah juga akan mengurangkan kebergantungan kepada proses manual serta penggunaan fail fizikal selain memastikan pengurusan data tanah lebih tepat dan selamat.
Pelaksanaan sistem tersebut merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan serta Unit Kerjasama Awam Swasta bagi memperkukuh transformasi digital pentadbiran tanah negeri.



