Bantuan BAS dan BAN ringankan beban 80 pelajar di DUN Bukit Kepayang

SEREMBAN: Seramai 80 pelajar daripada 10 buah sekolah dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang menerima bantuan menerusi Program Bantuan BAS dan BAN.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, program tersebut melibatkan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM45,700 bagi membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, seramai 34 murid sekolah rendah daripada enam buah sekolah menerima bantuan sebanyak RM600 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM20,400.
“Bagi pelajar sekolah menengah pula, seramai 46 orang daripada empat buah sekolah menerima bantuan sebanyak RM550 setiap seorang, melibatkan jumlah keseluruhan RM25,300,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penyampaian Bantuan BAS dan BAN di DUN Bukit Kepayang di sini.
“Bantuan tersebut diberikan bertujuan memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dapat menikmati keperluan persekolahan yang lebih selesa dan selamat.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kestabilan pendidikan dan kebajikan anak-anak amat penting supaya mereka dapat terus belajar dengan tenang tanpa dibebani masalah kewangan keluarga,” katanya.
Nicole turut menegaskan bahawa kestabilan politik memainkan peranan penting dalam memastikan agenda kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara konsisten dan berterusan.
“Dalam suasana politik yang stabil, pelbagai program bantuan, pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat dapat dirancang serta dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa gangguan politik yang berpanjangan,” katanya lagi.
Tambah beliau, Program BAS dan BAN telah dimulakan sejak penggal lalu selaras dengan manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan diteruskan sehingga kini.
Selain penyampaian bantuan, program tersebut turut disertai pelbagai agensi dan pertubuhan yang menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta NGO BARA yang turut mengagihkan pakaian kepada golongan memerlukan.
Nicole turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan dan berharap bantuan yang disalurkan dapat memberi manfaat kepada pelajar serta keluarga yang memerlukan.




