
SRI TANJUNG: Seramai 97 pelajar dari tiga sekolah sekitar Port Dickson yang memperoleh keputusan 6A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima penghargaan khas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dato’ Dr G. Rajasekaran.
Rajasekaran berkata, beliau berasa amat bangga dapat bertemu dengan pelajar-pelajar yang disifatkan sebagai bukti bahawa usaha gigih dan disiplin mampu membuahkan kejayaan membanggakan.
“Pendidikan merupakan pelaburan terbaik dalam membina masa depan generasi muda dan negara.
“Melihat semangat serta kesungguhan mereka, saya yakin masa depan Sri Tanjung dan negara berada di tangan yang tepat.
“Semoga sumbangan kecil ini menjadi pemangkin semangat untuk mereka terus melakar kejayaan dan melanjutkan pengajian ke menara gading,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak masing-masing sepanjang perjalanan akademik mereka.
“Kejayaan yang diraih pelajar juga merupakan hasil doa, pengorbanan dan sokongan berterusan daripada keluarga.
“Dalam pada itu, saya berharap semua pelajar terus mengekalkan kecemerlangan dan menjadi contoh kepada generasi muda lain di kawasan berkenaan,” ujar beliau lagi.
Majlis penyerahan penghargaan itu berlangsung di Pejabat ADUN Sri Tanjung sebagai tanda pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang pelajar terbabit dalam akademik.



