BeritaYB Kita

Tengku Zamrah tinjau projek monsun drain Kampung Bahagia Jiboi, pasar sementara Jalan Kuala Pilah

AMPANGAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Projek Monsun Drain di Kampung Bahagia Jiboi bagi meninjau perkembangan semasa projek berkenaan.

Tengku Zamrah berkata, lawatan tersebut bertujuan memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut jadual, spesifikasi yang ditetapkan serta mencapai objektif utama projek dalam memperbaiki sistem aliran air dan mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku di kawasan Kampung Bahagia Jiboi dan sekitarnya.

“Saya turut diberikan taklimat berhubung kemajuan projek, pelaksanaan teknikal serta beberapa tindakan penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan sistem saliran monsun tersebut mampu memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.

“Dalam pada itu, saya juga mengadakan tinjauan ke tapak Pasar Sementara di kawasan JPKK Jalan Kuala Pilah bagi membincangkan usaha menaik taraf serta mengoptimumkan penggunaan kemudahan tersebut agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak menjadi kawasan terbiar atau bangunan kosong.

“Perbincangan itu turut memberi fokus kepada cadangan penambahbaikan fungsi dan kemudahan pasar sementara supaya dapat membantu para peniaga kecil, membuka peluang ekonomi setempat serta memudahkan urusan penduduk mendapatkan keperluan harian dalam suasana yang lebih selesa dan teratur,” kata Tengku Zamrah.

Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan isu berkaitan banjir, sistem perparitan dan pembangunan kemudahan awam diberi perhatian serius khususnya di kawasan yang sering terkesan akibat perubahan cuaca dan hujan lebat.

“Projek seperti ini amat penting dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk,” ujar beliau.

Turut hadir Dato’ Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Dato’ Ir. Ts. Haji Masri Baharuddin, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pegawai serta staf teknikal Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan pihak kontraktor

Show More

Related Articles

Back to top button