Berita

PANAS! Ibu Soko Tua desak Elaun Adat dihentikan, Balai Undang ditutup serta-merta

SEREMBAN: Ibu Soko Tua, Waris Perut Kampung Pulau, Luak Rembau, YM Rashimah Abu Bakar dalam satu sidang media yang diadakan di Klana Resort, Seremban pada Jumaat, memohon kepada Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan agar menarik kembali surat pemakluman mengenai Penerimaan Calon Mata Benih ke atas YM Dato Shahbandar Abdul Rahim Yassin selaku calon YTM Undang Luak Rembau Ke-22.

“Kami semua memberi notis untuk penarikan ini pada atau sebelum 30 Mei 2026 kerana ianya bercanggahan dengan sistem dan Aturan Adat Perpatih di Luak Rembau.

“Menamatkan semua Elaun Adat yang diterima oleh YM Dato’ Perba Abdul Razak Mohd Yassin, YM Dato Shahbandar Abdul Rahim Yassin, YM Dato Merbangsa Norazmi dan semua Lembaga Luak yang menerima elaun ini berkuatkuasa pada bulan Mei 2026 ini.

“Perlu Menutup Balai dan Pejabat Undang dan berkuatkuasa pada 8 Mei 2026 kerana kedudukan Jawatan Penyandang Pusaka Undang Luak Ke-22 ini masih belum rasmi sepenuhnya dan perkara ini juga telah membuatkan seluruh Anak Waris rasa marah kerana tidak mematuhi arahan surat pemakluman yang telah dikemukakan oleh DKU.

“Secara nyata dan jelas telah mencampuri Urusan Luak Sungai Ujong di atas pemecatan yang telah dibuat oleh Ibu Soko dan Anak Waris Telaga Undang Luak Sungai Ujong kepada Dato’ Mubarak Thahak dan pada 18 April 2026, telah bersekongkol untuk menurunkan Takhta Kebawah DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 tanpa memikir implikasinya kepada Aturan Adat di Luak Rembau walaupun YTM Undang Luak ada kuasanya tetapi kedudukan dan keabsahannya sebagai YTM Undang Luak Ke-22 masih lagi tergantung dan ini adalah merupakan satu kesalahan Adat yang tidak boleh sama sekali Anak Waris Luak Rembau memaafkannya,” kata YM Rashimah.

Menurut YM Rashimah lagi, sidang media yang diadakan ini bukan untuk menjatuhkan sesiapa, tetapi untuk mempertahankan maruah adat.

“Adat tidak boleh diwarisi melalui percaturan. Adat wajib dipelihara melalui amanah.

“Selagi adat dijunjung, selagi waris dihormati, selagi musyawarah dipelihara, maka Negeri Sembilan akan terus berdiri megah dengan warisan Adat Perpatihnya,” ujar beliau.

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button