Berita

Masjid Negeri Ditutup Sementara 18 Bulan Untuk Projek Naik Taraf RM20.17 Juta

SEREMBAN: Sebanyak RM20.17 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan menyeluruh Masjid Negeri Negeri Sembilan yang akan ditutup sementara selama 18 bulan bermula 9 Mei 2026.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Negeri, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim, projek berkenaan dilaksanakan selepas mengambil kira keadaan fizikal masjid yang semakin uzur selepas hampir enam dekad beroperasi sejak dirasmikan pada 24 November 1967 oleh Almarhum Tuanku Ja’afar Al-Haj Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

“Kerajaan negeri telah bersetuju memperuntukkan sejumlah RM20.17 juta bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf prasarana Masjid Negeri secara menyeluruh.

“Usaha ini bukan sahaja melibatkan penambahbaikan kemudahan sedia ada malah bertujuan memperkukuh peranan masjid sebagai mercu tanda kebanggaan negeri dalam aspek keagamaan dan pelancongan Islam,” katanya ketika berucap pada majlis pengisytiharan penutupan sementara Masjid Negeri, hari ini.

Tambah beliau, projek naik taraf itu dijadualkan bermula pada 19 Mei 2026 dan akan siap pada 15 November 2027. Pelaksanaannya turut mengambil kira dari segi aspek keselamatan, keselesaan jemaah, kecekapan penggunaan ruang serta kemudahan mesra pengguna agar masjid berkenaan terus relevan sebagai institusi inklusif untuk masyarakat.

“Sepanjang tempoh penutupan sementara, semua aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah, solat Jumaat, kuliah pengajian, halaqah al-Quran dan urusan perkahwinan akan dipindahkan ke Kompleks as-Sa‘adah, Rahang.

“Bagi memudahkan jemaah menunaikan solat Jumaat, tiga lokasi alternatif turut disediakan iaitu di Ballroom Menara MAINS Aras 4, Surau Taman Permai 2 Seremban dan Surau Kampung Pondok Rasah,” katanya lagi.

Sementara itu, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sahibus Samahah memaklumkan keputusan penutupan sementara Masjid Negeri serta kebenaran mendirikan solat Jumaat di lokasi alternatif dibuat mengikut kuasa di bawah Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 dan telah diluluskan sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus menurut Seksyen 47 enakmen sama.

“Kebenaran penutupan sementara Masjid Negeri berkuat kuasa bermula 9 Mei 2026 bersamaan 21 Zulkaedah 1447 Hijrah, manakala kebenaran mendirikan solat Jumaat sementara di lokasi terlibat bermula pada 15 Mei 2026 bersamaan 27 Zulkaedah 1447 Hijrah.

“Kebenaran mendirikan solat Jumaat di lokasi-lokasi berkenaan adalah bersifat sementara sehingga surat pembatalan dikeluarkan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

“Solat Jumaat juga hendaklah didirikan secara berterusan dengan sekurang-kurangnya 40 ahli Jumaat selain jawatankuasa surau terlibat perlu mematuhi arahan pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Selain itu, ahli kariah di bawah Masjid Negeri Negeri Sembilan turut dibenarkan menunaikan solat Jumaat di mana-mana lokasi alternatif yang telah ditetapkan sepanjang tempoh kerja naik taraf dijalankan.

Terdahulu, kerja baik pulih di Masjid Negeri pernah dilaksanakan sekitar tahun 2010 hingga 2011, namun keadaan semasa menuntut usaha penyelenggaraan yang lebih menyeluruh bagi memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan keperluan jemaah terus terpelihara.

Projek ini turut dizahirkan hasil komitmen Kerajaan Negeri khususnya Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dalam merealisasikan usaha menaik taraf masjid berkenaan demi keselesaan dan kemudahan jemaah.

Show More

Related Articles

Back to top button