Berita

Ibu Soko Tua dakwa ada kecacatan Adat dalam pemilihan Undang Rembau

SEREMBAN: Ibu Soko Tua, Waris Perut Kampung Pulau, Luak Rembau, YM Rashimah Abu Bakar berkata, semua Anak Waris daripada Perut Biduanda Sedia Raja Kampung Pulau, Kampung Tengah, Kampung Tanjong dan Kampung Bukit menyatakan rasa dukacita dan kebimbangan terhadap proses permakluman serta pengiktirafan nama YM Dato Shahbandar Abdul Rahim Yassin sebagai YTM Undang Luak Rembau Ke-22 yang telah dinyatakan oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) adalah tidak sah dari Aturan dan Hukum Adat di Luak Rembau.

“Pendirian ini bukan bersifat peribadi, sebaliknya berasaskan dakwaan bahawa terdapat kecacatan dari sudut Aturan Adat, proses Musyawarah Waris (Majlis Kerapatan) serta persoalan mengenai kesempurnaan syarat-syarat Adat yang sewajarnya diperhalusi secara telus dan beradat.

“Dalam Adat Perpatih ada pepatah ‘Biar mati anak, jangan mati adat.

“Pepatah ini membawa maksud bahawa adat tidak boleh dipermainkan, dipercepatkan atau diatur mengikut kepentingan tertentu sehingga menghilangkan kesucian aturan pusaka dan warisan,” kata beliau.

Menurut YM Rashimah, isu yang dibangkitkan oleh semua Anak Waris di Luak Rembau adalah dakwaan ketidaksepakatan waris.

“Sebahagian Waris menyatakan bahawa proses pemilihan dan permakluman tersebut didakwa tidak mendapat persetujuan menyeluruh daripada Waris-Waris utama Perut Biduanda Sedia Raja.

“Dalam Adat Luak Rembau, suara waris dan muafakat Anak Perut merupakan asas yang amat penting sebelum sesuatu pengisytiharan dibuat.

“Adat menyebut ‘Bulat air kerana pembetung, Bulat manusia kerana muafakat,” ujar beliau lagi.

YM Rashimah berkata, sekiranya benar terdapat waris yang tidak dipanggil, tidak dirunding atau diketepikan, maka perkara tersebut sewajarnya diperhalusi semula melalui Kerapatan Adat yang adil dan tertutup dari kalangan Anak Waris Biduanda Sedia Raja Kampung Pulau dan bukan kampung yang lain.

Pemakluman yang telah dibuat oleh pihak Dewan Keadilan dan Undang (DKU) telah menimbulkan tanda tanya dari semua pihak terutamanya Anak Waris Biduanda Sedia Raja iaitu Perut Kampung Pulau keatas nama yang dimaklumkan iaitu YM Dato Shahbandar Abdul Rahim Yassin kerana:

“Sebelum beliau diangkat sebagai Mata Benih dan Calon YTM Undang Luak Rembau Ke 22 di mana beliau wajib meletakkan jawatannya sebagai YM Dato Shahbandar Luak Rembau terlebih dahulu akan tetapinya tidak dilakukan.

“Di mana isteri beliau tidak bersuku dan bertelapak di Luak Rembau tetapi di Luar Luak iaitu di Lenggeng (mohon beliau buktikan kedudukan ini kepada semua anak waris secara rasmi dan bersumpah laknat jika ianya benar).

“YM Dato Perba selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Mata Benih dan Calon YTM Undang Luak Rembau Ke 22 telah mengambil pendekatan dan mengusahai semua peranan YM Dato-Dato Lembaga sehingga memecat YM Buapak-Buapak, Ibu-Ibu Soko sesuka hati tanpa melalui Aturan Adat dan Majlis Kerapatan serta mendapat perakuan serta persetujuan dari semua anak waris yang tidak bersama dan memihak kepada keputusan yang dibuat.

“YM Dato’ Perba dan YM Dato’ Merbangsa bersekongkol untuk menamakan calon yang tidak memenuhi syarat serta mengikuti Aturan Adat di Luak Rembau yang telah diubah dan mengikut kehendak dirinya sendiri tanpa menghiraukan pendapat dan pandangan dari Ibu-Ibu Soko, Buapak-Buapak dan Anak Waris,” jelas Rashimah.

Show More

Related Articles

Back to top button