Berita

Aminuddin Sasar Bangunkan Linggi Sebagai Hab Ekonomi Baharu, Yakin Potensi Kawasan Mampu Dikembangkan

KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi menyasarkan pembangunan kawasan itu sebagai hab ekonomi baharu sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Aminuddin berkata, pengalaman beliau menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini menjadi asas untuk memastikan kawasan Linggi turut menerima limpahan pembangunan terutama menerusi kemasukan pelaburan baharu serta projek strategik negeri.

Menurutnya, kestabilan politik merupakan faktor penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan dengan lancar selain meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Negeri Sembilan.

“Kita mahu memastikan Negeri Sembilan terus stabil. Untuk kekal stabil, kita perlukan kemenangan.

“Banyak manifesto telah kita selesaikan, banyak perkara telah kita tunaikan dan pelbagai aktiviti telah kita laksanakan untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini.

Aminuddin berkata, sepanjang pentadbiran Kerajaan PH, Negeri Sembilan mencatat perkembangan positif termasuk peningkatan pelaburan yang mencecah RM19.1 bilion tahun lalu iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah negeri.

Katanya, pencapaian itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang stabil.

“Pelaburan kita terus meningkat sejak 2018 sehingga hari ini. Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kerajaan yang stabil.

“Apabila kerajaan tidak stabil, itulah yang merisaukan pelabur,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata, pembangunan projek strategik seperti Midport Smart AI Port di Pasir Panjang, Port Dickson bakal membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat termasuk di kawasan Linggi.

Menurutnya, projek pelabuhan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama negara itu melibatkan pelaburan kira-kira RM3.4 bilion dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Negeri Sembilan sebelum ini tidak mempunyai pelabuhan, namun hari ini kita memulakan langkah dengan pembinaan pelabuhan AI pertama negara hasil kerjasama sektor swasta dan Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS).

“Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat malah turut disusuli pembangunan kawasan perindustrian bebas cukai seluas 1,400 ekar yang dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Mengulas mengenai pencalonannya di DUN Linggi, Aminuddin berkata beliau mahu memastikan kawasan itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

Aminuddin berkata, Linggi mempunyai potensi besar untuk berkembang dengan adanya perancangan pembangunan, kemasukan pelaburan serta sokongan daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Kalau sebelum ini mereka beri peluang kepada saya sebagai anak negeri kali ini berilah peluang kepada saya untuk bersama-sama rakyat Linggi.

“Saya yakin kita mampu bangunkan Linggi sebagai satu pusat yang lebih hebat selepas ini dengan adanya pelaburan, adanya pasukan penasihat dan kemakmuran akan kita bawa bagi memastikan kesejahteraan rakyat Linggi tidak tertinggal seperti tempat-tempat lain,” katanya ketika ditemui pemberita.

Aminuddin berkata, pembangunan yang dirancang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek ekonomi malah memastikan rakyat Linggi menikmati manfaat menerusi peluang pekerjaan, kemudahan serta peningkatan kualiti hidup.

Aminuddin berkata, hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu dikekalkan bagi memastikan lebih banyak projek pembangunan serta bantuan dapat disalurkan kepada rakyat.

“Kita tidak mahu ada perbezaan atau masalah antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Kita mahu hubungan yang baik ini terus diperkukuhkan.

“Saya yakin sekiranya PH terus diberi mandat di Negeri Sembilan lebih banyak manfaat dapat dibawa kepada rakyat di seluruh negeri termasuk Linggi,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, barisan calon PH yang diketengahkan pada PRN kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, pendidik, usahawan, peguam, doktor, akauntan serta tokoh masyarakat.

Katanya, kepelbagaian latar belakang itu menjadi kekuatan baharu kepada PH dalam membentuk pasukan yang mampu membawa suara rakyat dan melaksanakan amanah yang diberikan.

“Kita bukan sekadar mahu melantik wakil rakyat tetapi membentuk satu pasukan yang benar-benar bekerja untuk rakyat Negeri Sembilan.

“Ada dalam kalangan mereka yang menjadi ustaz dan ustazah. Kepelbagaian ini menguatkan kita bukan sahaja dari segi pengalaman tetapi juga kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Aminuddin turut menyeru seluruh jentera pilihan raya dan penyokong PH supaya terus bekerja sehingga hari pengundian serta memastikan setiap pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya merayu kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, sama ada berada di dalam atau di luar negeri supaya pulang mengundi dan memberi peluang kepada kami untuk terus mentadbir selama lima tahun lagi.

“Kami mahu memastikan Negeri Sembilan terus aman, makmur, maju dan memberi lebih banyak manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button