Anwar Yakin Aminuddin Mampu Pimpin Negeri Sembilan Ke Arah Lebih Maju

KUALA PILAH: Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan yang baik, berintegriti dan mempunyai keserasian dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan demi manfaat rakyat.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berkata, beliau yakin Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mampu membawa negeri itu ke arah yang lebih baik menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Keselarasan pentadbiran antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan Negeri Sembilan tidak ketinggalan dalam pelbagai aspek, sebaliknya terus berkembang dan menikmati hasil pembangunan secara menyeluruh.
“Saya yakin Tok Min boleh pimpin Negeri Sembilan dengan lebih baik kerana selari dengan Persekutuan.
“Negeri ini tidak harus ketinggalan dalam segala aspek, sebaliknya berkembang dan maju seperti negeri lain yang akhirnya dinikmati rakyat keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini, malam tadi.
Turut hadir Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengarah Pilihan Raya PH, Dato’ Seri Amiruddin Shaari serta Ketua Penerangan PH, Dato’ Seri Fahmi Fadhil.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi PH turut menyeru semua pihak supaya memastikan kempen politik berlangsung secara matang dengan menghormati institusi Raja Berperlembagaan serta adat Negeri Sembilan.
Menurutnya, institusi diraja tidak seharusnya dijadikan bahan polemik politik kerana sistem Raja Berperlembagaan merupakan salah satu tonggak utama Perlembagaan Persekutuan.
“Kita mesti memuliakan sistem diraja kerana ia adalah salah satu tonggak Perlembagaan negara. Kita tidak mahu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin diheret dalam pilihan raya ini kerana ia tidak relevan.
“Sistem ini perlu dipertahankan dan jangan sesekali melanggar prinsip Perlembagaan,” tambahnya.
Hal ini kerana, segala keputusan berkaitan institusi diraja hendaklah dibuat berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Anwar berkata, semua pihak juga perlu mengelakkan penggunaan sentimen perkauman, agama atau tuduhan terhadap mana-mana pihak semata-mata untuk meraih sokongan politik.
“Maysia sebagai sebuah negara berbilang kaum perlu terus mempertahankan prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
“Kita mesti bertempur dalam politik secara sihat. Tidak perlu memfitnah atau menghina orang lain kerana kaum dan agama.
“Malaysia ialah negara berbilang kaum dan kita mesti terus mempertahankan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan,” ujarnya.



