BeritaYB Kita

Arul Kumar Mohon Kepercayaan Rakyat Teruskan Agenda Pembangunan Nilai

KUALA PILAH: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, Arul Kumar Jambunathan berharap rakyat memberikan mandat sekali lagi bagi membolehkan perancangan pembangunan serta inisiatif yang telah dimulakan sebelum ini diteruskan.

Arul Kumar yang juga memegang jawatan Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan dua penggal berturut-turut berkata, beberapa perancangan yang mengambil tempoh masa untuk dilaksanakan masih belum dapat direalisasikan sepenuhnya berikutan tempoh pentadbiran kerajaan negeri yang lebih singkat susulan krisis politik sebelum ini.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan lebih awal menyebabkan sebahagian inisiatif yang dirancang dalam tempoh lima tahun tidak sempat dilaksanakan sepenuhnya.

“Sudah tentu apabila pilihan raya, ia adalah satu mandat selama lima tahun. Tetapi apa yang berlaku akibat krisis politik di Negeri Sembilan menyebabkan belum sampai tiga tahun kita terpaksa berhadapan dengan satu pilihan raya negeri.

“Beberapa perkara yang telah kita rancang dan mengambil masa mungkin satu hingga dua tahun untuk dilaksanakan ataupun dimulakan tidak dapat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diumumkan sekali lagi sebagai calon PH untuk mempertahankan kerusi DUN Nilai pada PRN Negeri Sembilan ke-16 ini.

Arul turut berharap sokongan yang diberikan oleh pengundi Nilai dalam tiga pilihan raya sebelum ini dapat diteruskan bagi membolehkan agenda pembangunan kawasan berkenaan disempurnakan.

Menurutnya, sepanjang tiga penggal berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, beliau sentiasa berusaha melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Saya berharap kepada pengundi di Nilai untuk memberikan mandat sekali lagi supaya apa yang telah kita rancang dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Exco Kerajaan Negeri Sembilan, pelbagai inisiatif dan dasar telah diperkenalkan yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian inisiatif yang dimulakan pada tahun ini masih memerlukan masa untuk menunjukkan hasil dan manfaat kepada rakyat.

“Untuk mana-mana inisiatif ataupun dasar yang mahu kita lihat keberhasilannya, saya berharap kerajaan hari ini perlu dikekalkan pada pilihan raya negeri akan datang,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button