Berita

Anwar Harap Isu DAP Melaka Diselesaikan Secara Rundingan Menjelang PRN Negeri Sembilan

PORT DICKSON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap isu keputusan DAP Melaka untuk menarik diri daripada Kerajaan Negeri Melaka dapat diselesaikan menerusi rundingan antara pihak terlibat sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Anwar selaku Presiden Pakatan Harapan (PH), beliau telah membincangkan perkara itu bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi memberi ruang kepada rundingan serta mencari penyelesaian terbaik.

“Walaupun terdapat beberapa perkara yang tidak dipersetujui antara pihak terbabit, kerjasama dalam kerajaan perlu diteruskan demi kepentingan rakyat serta memastikan pembangunan ekonomi negeri tidak terjejas.

“Saya tadi berbincang dengan Menteri Anthony Loke dan juga Ketua Menteri. Kalau boleh kita runding dulu supaya ditangguhkan seketika supaya kita boleh teruskan kerja berkaitan negeri.

“Saya ingin pilihan raya dahulu itu lebih sebaiknya. Walaupun ada dua tiga perkara yang tidak bersetuju, tidak mengapa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Midport Smart AI Container Port di Mukim Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Anwar berkata, terdapat banyak perkara yang mungkin tidak dipersetujui bersama antara pihak namun dari sudut dasar berkaitan pertumbuhan ekonomi dan kepentingan rakyat, kerjasama perlu diteruskan dan dipertimbangkan semula.

Terdahulu, media melaporkan DAP Melaka mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026.

Pindaan berkenaan membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan eksekutif.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong turut mengumumkan semua wakil parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri melepaskan jawatan masing-masing, termasuk seorang Exco Kerajaan Negeri, dua Timbalan Exco, seorang Timbalan Speaker DUN serta semua lantikan politik dan wakil parti dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi kerajaan negeri.

Show More

Related Articles

Back to top button