Midport Perkukuh Malaysia Sebagai Hab Maritim Digital ASEAN – Anwar

PORT DICKSON: Projek pembangunan Midport Smart AI Port menjadi contoh infrastruktur moden berimpak tinggi yang diterajui sektor swasta dengan sokongan strategik kerajaan bagi mempercepat agenda ekonomi MADANI negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim, pembangunan pelabuhan pintar berkuasa kecerdasan buatan (AI) itu membuktikan keupayaan modal swasta dalam membantu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital dan maritim utama di rantau ASEAN.
Menurut beliau, Midport merupakan model tepat bagi pembangunan infrastruktur masa hadapan yang menggabungkan teknologi dan keperluan strategik negara.
“Midport merupakan satu model tepat bagi infrastruktur berimpak tinggi dan dipacu teknologi yang diperlukan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital dan maritim utama di ASEAN.
“Sebagai inisiatif yang diterajui sektor swasta dengan sokongan strategik di peringkat nasional, projek ini membuktikan bagaimana modal swasta mampu mempercepatkan agenda ekonomi MADANI negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Midport Smart AI Port Mukim Pasir Panjang, di Quesf Hotel Midport, Port Dickson disini.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun serta rakan strategik projek membabitkan Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) serta CCCC Dredging.
Anwar berkata, pelabuhan berkenaan yang mengintegrasikan teknologi AI dijangka membuka peluang pekerjaan baharu tanpa membebankan sumber kewangan awam.
Beliau mahu manfaat pembangunan Midport dapat dirasai oleh masyarakat tempatan khususnya anak muda di kawasan Linggi menerusi latihan dan pembangunan kemahiran.
“Saya mahu projek Midport bukan sekadar projek pembinaan tetapi memberi manfaat kepada anak tempatan.
“Saya mahu anak tempatan khususnya di Linggi diberi peluang mengikuti latihan dan pembangunan kemahiran supaya dapat menyertai tenaga kerja di Midport apabila pelabuhan itu mula beroperasi,” katanya.
Menurut beliau, usaha Menteri Besar Negeri Sembilan dalam membawa pembangunan Midport akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Port Dickson dan kawasan sekitarnya.
Anwar berkata, kedudukan Midport berhampiran Selat Melaka memberi nilai strategik memandangkan laluan perkapalan itu merupakan antara laluan paling sibuk di dunia.
“Ini bukan satu projek kecil, ia mengisi satu keperluan strategik kerana Malaysia adalah negara maritim dan kedudukan pelabuhan ini di Selat Melaka amat penting.
“Kita perlu memastikan kemudahan pelabuhan negara terus berkembang serta berdaya saing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Aminuddin atas usaha membawa pelaburan besar ke Negeri Sembilan sehingga merealisasikan pembangunan Midport di Port Dickson.
“Tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana berjaya membawa pelabur besar di Negeri Sembilan dan berjaya merealisasikan projek ini di Port Dickson,” katanya.
Midport direka sebagai pelabuhan pintar yang mengintegrasikan teknologi AI, automasi, logistik pintar serta analisis data bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab maritim dan digital utama di rantau ASEAN.
Pelabuhan itu bakal dilengkapi platform sokongan sepanjang 1.5 kilometer, enam dermaga serta kapasiti pengendalian sehingga lapan juta TEU apabila siap sepenuhnya.



