Berita

Midport Smart AI Port Bakal Buka 5,000 Peluang Pekerjaan, Pacu Ekonomi Port Dickson – Aminuddin

PORT DICKSON: Projek pembangunan Midport Smart AI Port dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu Negeri Sembilan apabila mampu mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, pembangunan pelabuhan pintar itu akan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat khususnya di kawasan Linggi dan Port Dickson.

Menurut Aminuddin, Midport Smart AI Port yang diiktiraf sebagai pintu gerbang maritim utama di bawah Parsel E, Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) akan menjadi sebahagian daripada enjin pertumbuhan ekonomi baharu negeri.

“Model ekonomi enjin berkembar ini dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung, selain memberi limpahan ekonomi kepada rakyat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Negeri Sembilan.

“Ia sekali gus mengangkat Port Dickson khususnya di Linggi sebagai sebuah bandar pelabuhan moden yang lebih berdaya saing,” katanya.

Aminuddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Midport Smart AI Port Mukim Pasir Panjang yang berlangsung di Quest Hotel Midport yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim, hari ini.

Aminuddin berkata, pembangunan pelabuhan di tanah Negeri Sembilan perlu memastikan anak tempatan menjadi penerima manfaat utama menerusi peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran.

“Inilah kesan limpahan ekonomi yang disasarkan oleh Kerajaan Negeri. Projek besar mesti membawa rezeki kepada rakyat kecil.

“Pembangunan yang berlaku di kawasan Linggi mesti mengangkat ekonomi keluarga di Linggi dan Port Dickson,” katanya.

Justeru, beliau berkata, aspek latihan dan peningkatan kemahiran perlu diberi perhatian menerusi kerjasama antara pemaju projek, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agensi latihan serta pemain industri.

“Kita tidak mahu anak tempatan hanya menjadi penonton tetapi kita mahu mereka menjadi tenaga kerja utama dalam ekonomi baharu ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembangunan Midport merupakan langkah intervensi strategik bagi menangani kekurangan kapasiti pelabuhan di sepanjang Selat Melaka yang dijangka semakin kritikal dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya, Midport bukan sekadar hab pemindahan kargo antara kapal malah berperanan sebagai pelabuhan pintu masuk kepada kawasan perindustrian yang sedang berkembang di bawah MVV 2.0.

“Pelabuhan ini akan melancarkan pergerakan masuk bahan mentah dan keluar barangan siap selain meningkatkan ketahanan maritim negara melalui penggunaan kren automatik, sistem pengangkutan pintar dan pengurusan limbungan digital sejak hari pertama operasi,” katanya.

Midport dibangunkan oleh Midports Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Tanco Holdings Berhad dengan kerjasama Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS).

Pelabuhan pintar itu dibangunkan di kawasan seluas 180 ekar dalam Had Pelabuhan Kuala Sungai Linggi yang diwartakan dan bakal mempunyai kapasiti pengendalian sehingga lapan juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) apabila siap sepenuhnya.

Projek bernilai sekitar USD850 juta itu dijangka siap dalam tempoh 42 bulan dengan operasi dijangka bermula antara 2029 hingga 2030.

Show More

Related Articles

Back to top button