Berita

Asatizah muda benteng utama hadapi ‘peperangan pemikiran’ era digital

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyifatkan cabaran terbesar yang dihadapi umat Islam pada masa kini bukan lagi peperangan fizikal, sebaliknya peperangan pemikiran yang digerakkan melalui platform digital dan media sosial.

Beliau berkata, perkembangan teknologi telah mengubah bentuk ancaman terhadap umat apabila pengaruh luar kini disebarkan menerusi algoritma media sosial, kandungan video pendek serta pempengaruh yang mempunyai pengikut ramai tetapi tidak memiliki asas ilmu agama yang sahih.

“Hari ini musuh umat tidak lagi datang dengan pedang dan senjata. Mereka datang melalui algoritma media sosial.

“Mereka datang melalui video-video pendek yang membentuk pemikiran generasi muda.

“Mereka datang melalui pempengaruh yang mempunyai jutaan pengikut tetapi tidak mempunyai asas ilmu yang benar,” katanya ketika berucap pada Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), di sini.

Menurut beliau, kebimbangan masyarakat hari ini bukan lagi sekadar melihat anak muda menjauhkan diri daripada institusi masjid, sebaliknya mendapatkan panduan agama daripada sumber yang tidak mempunyai autoriti.

“Jika dahulu kita bimbang anak muda tidak datang ke masjid, hari ini kita perlu lebih bimbang apabila mereka mendapatkan agama daripada sumber yang tidak mempunyai autoriti.

“Sebab itu saya sering menyebut bahawa peperangan terbesar generasi kita bukan peperangan fizikal, tetapi peperangan pemikiran; dan dalam peperangan ini, para asatizah muda adalah barisan hadapan yang paling penting,” katanya.

Dalam ucapannya, Aminuddin turut menggariskan empat perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh golongan asatizah muda bagi memperkukuh peranan mereka dalam masyarakat.

Beliau berkata, perkara pertama ialah membawa mesej Islam yang sederhana, rahmah dan menyatukan masyarakat.

“Islam yang kita perjuangkan ialah Islam yang tegas pada prinsip, tetapi santun dalam pendekatan.

“Islam yang mendidik, bukan menghina. Islam yang merangkul, bukan memukul,” kata Aminuddin.

Selain itu, beliau menggesa para asatizah supaya sentiasa memelihara adab ketika berbeza pandangan, terutama dalam era media sosial yang menyaksikan budaya menghukum dan melabel semakin berleluasa.

“Hari ini, cabaran terbesar bukan kekurangan ilmu, tetapi kekurangan adab ketika menyampaikan ilmu.

“Kita tidak kekurangan maklumat, tetapi kita sedang berdepan krisis kebijaksanaan.

“Oleh itu, jadilah generasi asatizah yang memimpin masyarakat dengan kematangan ilmu dan keluhuran akhlak,” ujar Aminuddin.

Aminuddin turut menekankan kepentingan membina jaringan kerjasama yang kukuh antara institusi agama, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan bagi memperkasakan agenda pembangunan ummah.

Katanya, platform HAMKA perlu dimanfaatkan sebagai ruang membina persahabatan, berkongsi pengalaman serta merancang gerakan dakwah yang lebih tersusun dan berkesan.

Pada masa sama, beliau menyeru golongan pendakwah muda supaya berani meneroka ruang dakwah baharu yang lebih dekat dengan kehidupan generasi muda.

“Dakwah hari ini tidak boleh terhad di dalam masjid dan surau semata-mata.

“Dakwah mesti hadir di media sosial. Dakwah mesti hadir di universiti. Dakwah mesti hadir di tempat kerja.

“Dakwah mesti hadir di ruang digital yang menjadi tempat anak muda membentuk pemikiran mereka setiap hari.

“Jika kita tidak memenuhi ruang itu dengan kebenaran, ruang itu akan dipenuhi dengan kekeliruan,” jelas Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button