HAMKA medan lahirkan pemimpin dan pembimbing umat masa depan: Aminuddin

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyifatkan Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) sebagai satu gerakan penting dalam membina semula kekuatan pemikiran, kepimpinan dan peradaban umat Islam, khususnya dalam mendepani cabaran dunia yang semakin kompleks.
Beliau berkata, kehadirannya ke program yang berlangsung di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) bukan sekadar atas kapasiti sebagai Menteri Besar, sebaliknya sebagai seorang pemimpin yang memikirkan masa depan generasi akan datang.
“Apabila saya melihat himpunan ini, saya tidak hadir hanya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Saya hadir sebagai seorang pemimpin yang memikirkan masa depan anak-anak kita.
“Saya juga hadir sebagai seorang anak negeri yang melihat dunia berubah begitu pantas.
“Saya hadir dengan keyakinan bahawa kekuatan sesebuah negeri bukan hanya terletak pada pembangunan fizikal atau pelaburan yang masuk, tetapi pada manusia yang membentuk jiwa dan peradabannya,” katanya ketika berucap pada HAMKA Peringkat Negeri Sembilan di SDAR, di sini.
Menurut beliau, kejayaan HAMKA menghimpunkan lebih 1,500 peserta di peringkat kebangsaan serta perkembangan program itu ke Sarawak dan Kedah membuktikan ia bukan lagi sekadar sebuah program biasa, sebaliknya satu gerakan besar yang memberi impak kepada pembangunan ummah.
“Sebab itu, apabila HAMKA berjaya menghimpunkan lebih 1,500 peserta di peringkat kebangsaan, berkembang ke Sarawak dan Kedah, dan kini berlabuh di bumi beradat Negeri Sembilan, saya melihat ia sebagai satu gerakan besar untuk membina semula kekuatan pemikiran dan kepimpinan umat Islam,” katanya.

Aminuddin turut mengingatkan mengenai cabaran yang bakal dihadapi generasi akan datang, terutama dalam berdepan penyebaran maklumat tanpa sempadan dan pelbagai pengaruh melalui teknologi digital.
Beliau berkata, golongan asatizah muda mempunyai peranan besar dalam membimbing masyarakat serta mempertahankan akidah generasi muda pada masa hadapan.
“Cuba kita bayangkan 10 atau 20 tahun akan datang.
“Apabila generasi kepimpinan hari ini telah tiada, siapakah yang akan membimbing masyarakat? Siapakah yang akan menjawab kekeliruan agama yang tersebar tanpa sempadan?
“Siapakah yang akan mempertahankan akidah anak-anak muda ketika mereka berhadapan dengan pelbagai pengaruh yang datang melalui telefon pintar di tangan mereka?
“Jawapannya berada di dalam dewan ini. Anda semua,” katanya.
Beliau berharap HAMKA akan terus menjadi platform melahirkan lebih ramai pendakwah, pendidik dan pemimpin muda yang mampu memacu pembangunan masyarakat berteraskan ilmu, akhlak dan nilai Islam.



