Berita

Negeri Sembilan Perintis Latihan Kaigo Untuk Sektor Pelancongan, Tarik Pelancong Warga Emas Jepun

PORT DICKSON: Negeri Sembilan mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan latihan Kaigo khusus untuk sektor pelancongan dan perhotelan sebagai persediaan menerima pelancong warga emas, terutama dari Jepun.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan hotel-hotel di negeri ini bersedia menyediakan perkhidmatan yang mesra dan sesuai dengan keperluan golongan warga emas.

“Hotel yang telah menjalani latihan Kaigo akan mempunyai nilai tambah yang boleh digunakan sebagai kelebihan dalam promosi pelancongan.

“Kita mahu memastikan hotel-hotel ini siap siaga untuk menerima pelancong warga emas. Jika kita boleh mewar-warkan bahawa hotel tersebut telah menerima latihan Kaigo, ia menunjukkan mereka tahu bagaimana untuk menjaga dan memenuhi keperluan warga emas.

“Ini menjadi satu nilai tambah dan boleh dijadikan elemen promosi untuk menarik pelancong warga emas datang ke Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Taklimat Industri Rasmi Rongsutei di Tasik Villa International Resort, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelancong warga emas merupakan antara segmen pelancong yang mempunyai kuasa perbelanjaan tinggi dan berpotensi memberi impak positif kepada ekonomi tempatan.

“Pelancong warga emas adalah antara golongan yang paling berada berbanding segmen masyarakat lain. Sebab itu kita mahu memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” tambahnya

Dalam pada itu, Nicole turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, khususnya HRD Corp yang menyediakan dana latihan kepada pengusaha hotel.

“Semua hotel ini merupakan pencarum HRD Corp, jadi ia memberi manfaat kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran pekerja melalui latihan yang disediakan.

“Pelaksanaan latihan Kaigo untuk sektor pelancongan sebagai satu detik bersejarah kerana ia merupakan program pertama seumpamanya dianjurkan bukan sahaja di Negeri Sembilan, malah di seluruh negara.

“Ini adalah kali pertama latihan Kaigo untuk tempat pelancongan diadakan. Saya berharap kita dapat memulakan satu gelombang baharu yang akan turut disertai oleh negeri-negeri lain,” ujarnya.

Mengulas mengenai sasaran pasaran, Nicole berkata konsep Rongsutei pada masa ini memberi fokus kepada pelancong dari Jepun memandangkan Kaigo berasal dari negara tersebut, namun ia berpotensi diperluaskan kepada negara lain pada masa hadapan.

Beliau berkata, kemahiran yang dipelajari menerusi latihan Kaigo bukan sahaja bermanfaat kepada pekerja hotel dalam menjalankan tugas, malah boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Latihan ini bukan sekadar menambah kemahiran untuk pekerjaan mereka. Ia juga berguna dalam kehidupan kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai warga emas di rumah atau suatu hari nanti akan menjadi warga emas juga.

“Jadi kemahiran ini sangat berguna bukan sahaja untuk kerjaya, tetapi juga untuk kehidupan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button