Berita

Lebuhraya Port Dickson bakal diterangi lampu solar LED

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Seremban-Port Dickson (E29) bakal menerima pemasangan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar menerusi peruntukan kerajaan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di laluan berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemasangan lampu solar LED itu merupakan sebahagian daripada fasa awal Program Pantau MADANI yang melibatkan 32 lokasi berisiko tinggi dan kerap berlaku kemalangan di rangkaian lebuh raya seluruh negara.

Menurut beliau, bagi jajaran Lebuhraya Seremban-Port Dickson (E29) dan Lebuhraya Utara-Selatan (E2) Selatan, sebanyak 567 tiang lampu akan dipasang di enam lokasi yang meliputi kawasan antara Persimpangan Bertingkat Senawang dan Persimpangan Bertingkat Pedas Linggi.

“Projek ini dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi dan kerap berlaku kemalangan.

“SST (Surat Setuju Terima) telah pun diserahkan kepada kontraktor terpilih dan kerja-kerja fizikal di tapak boleh dimulakan serta-merta. Projek ini disasarkan siap sepenuhnya menjelang hujung November tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan SST kepada empat kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek pemasangan lampu solar LED di lebuh raya seluruh negara.

“Kerajaan memperuntukkan RM25.2 juta bagi fasa awal projek tersebut yang melibatkan pemasangan kira-kira 3,000 tiang lampu di lokasi berisiko tinggi.

“Inisiatif ini dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai usaha proaktif mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah LLM, Dato’ Mohd Hadzmir Yusoff berkata, pemilihan lokasi dibuat berdasarkan data kemalangan yang dipantau menerusi sistem MH Roads bagi mengenal pasti kawasan blackspot dan lokasi berisiko tinggi.

Beliau berkata, pemasangan lampu solar LED itu akan dipantau secara berterusan bagi menilai keberkesanannya dalam mengurangkan kadar kemalangan selepas projek siap dilaksanakan.

Show More

Related Articles

Back to top button