ASEAN GEMS tawar dana biasiswa RM17.68 juta

SUBANG JAYA: Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr.Zambry Abd Kadir telah melancarkan platform ASEAN GEMS (Global Exchange for Mobility and Scholarship), sebuah inisiatif yang bertindak sebagai pusat sehenti bagi maklumat berkaitan biasiswa dan program mobiliti akademik dalam kalangan negara anggota ASEAN di Majlis Perasmian ASEAN Education Forum 2025 (AEF 2025).
Zambry berkata, platform ini bertujuan meningkatkan akses pendidikan serta memperkukuh integrasi akademik serantau dengan menyediakan peluang biasiswa dan pertukaran akademik rentas sempadan.
“ASEAN GEMS menawarkan dana biasiswa berjumlah USD4 juta (RM17.68 juta) bagi memperluaskan peluang pendidikan tinggi kepada pelajar ASEAN.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada ribuan pelajar dengan membantu mereka mendapatkan pembiayaan dan maklumat lengkap mengenai peluang akademik di seluruh rantau.
“Menteri menegaskan bahawa platform ini akan memainkan peranan penting dalam membangunkan generasi pemimpin masa depan ASEAN dengan memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka.
“Platform ini juga bakal menjadi pemacu dalam membentuk masyarakat akademik yang lebih inklusif dan berdaya saing, sejajar dengan matlamat ASEAN untuk menjadikan rantau ini sebagai hab pendidikan tinggi yang dinamik dan berinovasi,” kata Zambry.