Berita

ATM Pamer Kesiapsiagaan Tempur Menerusi Latihan Kuasa Tembakan 2026

GEMAS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempamerkan tahap kesiapsiagaan tempur menerusi Eksesais Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2026 yang berlangsung di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin, di sini.

Kira-kira 2,500 pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), serta penyertaan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) menyertai latihan berskala besar yang berlangsung dari 19 hingga 30 Jun.

Menurut Tentera Darat Malaysia (TDM), latihan itu bukan sahaja memberi pendedahan taktikal Combined Arms Manoeuvre kepada penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia Bersama (KPSMB) malah turut bertujuan mempamerkan keupayaan sistem persenjataan ATM dari aspek manuver, kuasa tembakan serta impak terhadap sasaran.

“Ia juga bertujuan melatih serta mengekalkan kompetensi anggota dalam pelaksanaan latihan tembakan peluru hidup berskala besar selain menguji Manual Panduan Pengurusan dan Pelaksanaan LKT 2026 di lapangan,”katanya.

Latihan tersebut turut memperagakan pelbagai aset strategik termasuk kereta kebal PT-91M Pendekar, kenderaan perisai AV8 Gempita, ACV 300 Adnan, MIFV, Lipan Bara serta kenderaan taktikal VAMTAC.

Turut digunakan ialah sistem artileri dan mortar seperti Meriam 155mm G5, Meriam 105mm PH L5 dan LG Mk III, Astros II serta Mortar 81mm.

Selain itu, aset udara membabitkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet dan SU-30MKM serta helikopter EC725, Super Lynx TLDM, AW139, MD530G dan Agusta A109 turut dipamerkan.

Bagi memperkukuh konsep operasi pelbagai domain, latihan berkenaan turut menggunakan teknologi Unmanned Aerial System (UAS) FLYEYE dan Matrice-30 bagi tujuan perisikan serta penilaian kerosakan secara masa nyata.

LKT 2026 turut menampilkan beberapa demonstrasi operasi berimpak tinggi termasuk operasi gabungan darat dan udara, penyusupan pasukan khas menggunakan kaedah fast roping dan SPIE Rigging, selain demonstrasi pengurusan kerosakan senjata serta pemulihan kenderaan perisai di medan tempur.

“Pelaksanaan LKT 2026 membuktikan setiap pelaburan pertahanan negara dimanfaatkan secara optimum bagi memastikan ATM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tempur tertinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara” katanya.

Eksesais Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2026 turut disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Show More

Related Articles

Back to top button