Harga Subsidi Diesel RM2.10 Dijangka Dapat Ringankan Kos Operasi, Turut Bantu Sektor Pendidikan TVET

SEREMBAN: Pelaksanaan penyelarasan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula 1 Julai ini dijangka memberi impak positif terhadap pengurangan kos operasi pelbagai sektor ekonomi, termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus membantu mengurangkan kos rantaian bekalan dan meringankan beban pengguna.
Kerajaan pada 21 Jun lalu telah mengumumkan penyelarasan harga diesel itu menerusi mekanisme pengesahan MyKad di bawah inisiatif BUDI MADANI, dengan individu yang layak menikmati had kelayakan asas antara 200 hingga 300 liter sebulan mengikut kategori kenderaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Mighty Skills, Dr. Hj. Helminiry Had Sabtu berkata, keputusan kerajaan itu merupakan satu langkah yang tepat kerana diesel merupakan komponen penting dalam sektor pengangkutan yang menjadi pemacu kepada rantaian bekalan pelbagai industri.
Beliau berkata, pengurangan harga diesel akan membantu menurunkan kos operasi syarikat yang menggunakan kenderaan diesel, khususnya dalam sektor logistik dan pengangkutan, sekali gus memberi kesan kepada penurunan kos pengedaran barangan.
“Apabila harga diesel turun, secara logiknya kos operasi juga akan berkurang. Kita berharap penjimatan ini akan diterjemahkan kepada penurunan harga barangan keperluan supaya manfaatnya dapat dirasai terus oleh pengguna,” katanya.
Menurut beliau, walaupun operasi Kolej Antarabangsa Mighty Skills lebih banyak menggunakan kenderaan ringan berasaskan petrol, institusi itu tetap akan menerima kesan positif secara tidak langsung melalui pengurangan kos penghantaran barangan dan perkhidmatan yang diperlukan dalam operasi harian.
Dr. Helminiry berkata, penurunan harga diesel bukan sahaja memberi manfaat kepada industri automotif, malah akan mewujudkan kesan rantaian kepada sektor lain apabila kos pengangkutan menjadi lebih rendah.
“Apabila kos pengangkutan berkurang, kos operasi juga akan turun. Akhirnya ia akan memberi impak kepada sektor-sektor lain dan kita berharap peratus penjimatan itu akan memberi manfaat kepada pengguna serta organisasi seperti institusi pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Automotif Kolej Antarabangsa Mighty Skills, Tc. Muhammad Izzudin Fahmi Mohd. Sani berkata, sektor automotif antara yang paling terkesan dengan perubahan harga diesel kerana sebahagian besar alat ganti dan bahan penyelenggaraan dihantar menggunakan lori.
“Apabila kos penghantaran meningkat sebelum ini, pembekal turut menaikkan harga barangan seperti minyak enjin, minyak brek dan komponen automotif lain, sekali gus memberi kesan kepada institusi yang memerlukan bekalan tersebut untuk tujuan latihan.
“Apabila harga diesel turun, kos penghantaran juga akan turun. Secara tidak langsung harga barangan yang digunakan dalam sektor automotif dijangka menjadi lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini beberapa komponen automotif mengalami kenaikan harga sekitar lima peratus berikutan peningkatan kos logistik, menyebabkan institusi perlu lebih berhemat dalam menguruskan bahan latihan untuk pelajar.
“Walaupun kenaikannya tidak terlalu ketara, ia tetap memberi kesan kerana kita mempunyai ramai pelajar yang menjalani latihan setiap hari. Ada ketika kita perlu mengurangkan penggunaan bahan latihan bagi mengawal kos operasi,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Kimpalan Kolej Antarabangsa Mighty Skills, Afiq Farhan Md. Lokman berkata, penurunan harga diesel turut dijangka mengurangkan kos pembelian bahan guna habis yang digunakan secara berterusan dalam latihan amali.
Menurutnya, bahan seperti elektrod, cakera pemotong (cutting disc) dan grinding disc perlu dibekalkan secara berkala oleh pembekal yang bergantung kepada pengangkutan berasaskan diesel.
“Apabila harga diesel meningkat sebelum ini, pembekal turut menaikkan harga bahan-bahan tersebut. Jadi kami berharap dengan penurunan harga diesel, kos bahan asas yang digunakan dalam latihan pelajar juga akan dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kadar kenaikan harga berbeza mengikut pembekal, terdapat syarikat yang menaikkan harga antara tiga hingga lima peratus disebabkan peningkatan kos penghantaran.
“Harapan kami, apabila kos logistik kembali stabil, harga bahan yang dibeli oleh institusi pendidikan juga akan kembali lebih kompetitif,” katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Kimpalan, Mohd. Shahril Abd. Razak pula menyifatkan diesel sebagai elemen penting dalam sistem logistik negara kerana sebahagian besar proses penghantaran bahan mentah dan peralatan industri bergantung kepada pengangkutan menggunakan bahan api tersebut.
Beliau berkata, peningkatan harga diesel sebelum ini menyebabkan caj penghantaran turut meningkat, sekali gus menambah kos pembelian bahan yang diperlukan oleh institusi pendidikan dan industri.
“Sebelum ini ada pembekal yang tidak mengenakan caj penghantaran, namun selepas kos diesel meningkat, penghantaran boleh mencecah sekitar RM20 bagi setiap pesanan. Sebab itu penurunan harga diesel amat penting untuk mengurangkan kos operasi,” katanya.
Beliau turut berharap penyelarasan harga diesel dapat dikekalkan secara konsisten bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh jangka panjang.
Menurutnya, kestabilan harga diesel akan memberi keyakinan kepada industri untuk mengawal kos operasi, selain membantu institusi pendidikan memperoleh bekalan bahan latihan pada harga yang lebih berpatutan tanpa berdepan turun naik kos logistik yang kerap.



