Kerajaan sedia RM40 bilion bantu rakyat miliki rumah pertama

CHUAH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menawarkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu rakyat membeli rumah pertama.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, SJKP menawarkan RM40 bilion kepada rakyat Malaysia yang ingin memiliki rumah pertama, termasuk bagi membantu golongan pekerja ekonomi gig (penghantar makanan dan pemandu e-hailing) untuk membantu golongan ini selesaikan masalah pinjaman perumahan.
“Sekiranya mereka membeli rumah pertama bernilai tidak lebih RM500,000 maka mereka layak untuk memohon.
“Setakat pagi ini seramai 93,555 pembeli rumah pertama telah menerima manfaat daripada SJKP.
“KPKT masih ada baki RM18 bilion lagi, di mana apabila bank bagi pinjaman, maka pinjaman itu diberi jaminan oleh kerajaan,” jelas Nga.
Menurut beliau, ini adalah salah satu model terbaik oleh kerajaan untuk membantu pembeli rumah pertama.
“Saya yakin menjelang akhir tahun ini, sasaran kita seramai 100,000 pembeli rumah akan menerima manfaat daripada SJKP ini.
“Semua 17 institusi kewangan termasuk Maybank, CIMB, Public Bank dan UOB telah menjadi rakan strategik dalam SJKP untuk membantu rakyat memiliki rumah pertama,” ujar Nga lagi.
Nga berkata demikian semasa sidang media pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Pengundian Unit Program Perumahan Rakyat (PPR) Ladang Tanah Merah di sini.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dan Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar.




