Berita

Bengkel lori disyaki lepas minyak ke Sungai Linggi

SEREMBAN: Satu premis bengkel lori telah dikenalpasti, yang disyaki suspek dalam kes pelepasan cecair minyak ke dalam Sungai Linggi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pada 4 Mei 2024 jam sekitar jam 7.30 malam, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) telah menerima aduan berkenaan pencemaran air seakan minyak yang memasuki Sungai Linggi di sekitar kawasan Jalan Pantai, Daerah Seremban.

“Kesan daripada pelepasan cecair seakan minyak ini ke dalam Sungai Linggi telah menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Linggi telah memberhentikan proses rawatan air mentah kerana telah mengesan kehadiran cecair tersebut menerusi ujian bau yang mencatatkan rekod sehingga 11 Ton pada jam 9.20 pagi, 5 Mei dan rekod bacaan tertinggi adalah mencecah 21 Ton pada jam 10.30 pagi.

“Namun begitu, bacaan kadar bau tersebut semakin menurun dan pada jam 4.30 pagi 6 Mei, bacaan Ton yang direkodkan adalah pada 2 Ton.

“Sumber air mentah telah kembali pulih dan LRA Linggi telah memulakan semula operasi sekitar jam 1.30 petang pada 6 Mei,” jelas Aminuddin.

Menurut Aminuddin, proses persampelan air telah dibuat oleh agensi kerajaan yang berkaitan bagi tujuan siasatan dan tindakan perundangan.

“Kes ini sedang dalam siasatan oleh agensi-agensi kerajaan terbabit di bawah kesalahan pencemaran sumber air.

“Kerajaan Negeri amat komited dan tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu atau organisasi yang didapati telah melakukan kesalahan mencemarkan sumber air mentah di Negeri Sembilan.

“Tindakan tegas akan dikenakan sama ada dalam bentuk kompaun, denda atau penjara selaras dengan perundangan yang terlibat bagi kesalahan ini,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri amat menggalakkan kerjasama orang awam untuk menjadi mata dan telinga pihak Kerajaan Negeri sekiranya terlihat kejadian seumpama ini berlaku pada masa akan datang.

Orang awam boleh terus menghubungi pihak JASNS, BKSANS atau talian kecemasan sambungan kepada PDRM untuk tindakan pengawalan dan pencegahan, demi kelestarian sumber air Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button