
SEREMBAN: Program Brisk Walk Bersama Anak-Anak/Pemandiri Pesakit Kanser yang berlangsung di Taman Tasik Seremban hari ini berjaya menghimpunkan komuniti setempat dalam satu inisiatif penuh makna yang menekankan kepentingan gaya hidup sihat serta sokongan moral kepada pesakit dan pemandiri kanser.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada penganjur iaitu Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak (CAKNE), Adcote Matrix School dan Pejabat Kesihatan Pergigian Seremban atas usaha murni tersebut.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar aktiviti riadah, malah membawa simbol kekuatan dan solidariti khususnya kepada anak-anak serta pemandiri pesakit kanser.
“Hari ini bukan sekadar aktiviti berjalan santai, tetapi merupakan simbol kekuatan, harapan dan solidariti — khususnya buat anak-anak dan pemandiri pesakit kanser yang bersama kita.
“Anda semua adalah lambang ketabahan yang luar biasa,” katanya.

Menurut beliau, setiap langkah yang diambil dalam program itu mencerminkan perjuangan berterusan bukan sahaja dari aspek kesihatan fizikal, tetapi juga kesejahteraan emosi dan semangat untuk meneruskan kehidupan.
Tambahnya, program seumpama itu turut meningkatkan kesedaran bahawa penjagaan kesihatan memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk gaya hidup aktif dan sokongan komuniti.
“Program seperti ini mengingatkan kita bahawa penjagaan kesihatan bukan hanya bergantung kepada rawatan, tetapi juga melalui gaya hidup aktif, sokongan komuniti dan kesedaran awam,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada guru, petugas kesihatan, ibu bapa dan sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam memberi sokongan kepada anak-anak yang terlibat.
“Kehadiran anda semua pada hari ini membuktikan bahawa dalam menghadapi cabaran, kita tidak bersendirian – kita berjalan bersama sebagai satu komuniti yang saling menyokong,” kata Nicole lagi.
Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk mengamalkan gaya hidup sihat di samping meningkatkan kesedaran terhadap penyakit kanser.
Program tersebut dilihat bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti, malah memberi suntikan semangat kepada golongan yang sedang berjuang dan yang telah melalui cabaran penyakit berkenaan.




