Kerajaan salur RM7 bilion subsidi bahan api

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan menampung sebanyak RM7 bilion bagi bantuan bahan api pada April 2026 sebagai usaha membantu rakyat mengurangkan tekanan akibat krisis tenaga global.
Selain itu, kerajaan turut mengumumkan bantuan tunai tambahan sebanyak RM75 juta khusus bagi pengguna diesel melibatkan golongan pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan individu.
Di bawah langkah tersebut, Insentif Pembajakan Pesawah (IPKP) dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar semusim, memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah dengan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta.
Kerajaan juga meningkatkan Bantuan Interim BUDI Agri-Komoditi daripada RM300 kepada RM400 bagi April, melibatkan lebih 200,000 penerima dalam kalangan petani dan pekebun kecil, dengan tambahan dana sebanyak RM20 juta sebulan.
Bagi pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung, Bantuan Interim BUDI Diesel Individu turut dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 untuk bulan sama, memanfaatkan lebih 150,000 penerima dengan tambahan peruntukan RM15 juta sebulan.
Menurut kerajaan, langkah ini bertujuan memastikan sektor pertanian terus beroperasi dengan lancar serta mengawal peningkatan kos sara hidup.
Langkah ini memastikan operasi pertanian terus lancar, kos dapat dikawal, dan bekalan makanan negara kekal terjamin.
Dalam masa sama, kerajaan turut melonggarkan syarat permit khas bagi pembelian diesel melebihi 20 liter untuk kegunaan selain kenderaan, sebagai sebahagian usaha memudahkan aktiviti ekonomi berkaitan. (Kementerian Kewangan).




