Berita

Sekolah Pendidikan Khas Swasta Pertama di Negeri Sembilan Buka Harapan Baharu

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Penubuhan Sekolah Rendah Pendidikan Khas Playvelope sebagai sekolah rendah pendidikan khas swasta pertama di Negeri Sembilan menjadi sinar baharu kepada keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas di negeri ini.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran terhadap kanak-kanak yang mengalami cabaran perkembangan seperti Autism Spectrum Disorder (ASD), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) serta kelewatan pertuturan dan pembelajaran semakin meningkat di Malaysia.

Namun begitu, akses kepada pendidikan khas masih menjadi cabaran utama, khususnya di negeri-negeri di luar Lembah Klang termasuk Negeri Sembilan yang dilihat kekurangan institusi pendidikan khusus bagi golongan tersebut.

Mengikut anggaran global, kira-kira satu daripada 100 kanak-kanak dikenal pasti mengalami autism, manakala ramai lagi berdepan kelewatan perkembangan yang memerlukan sokongan pendidikan khusus.

Situasi ini menyebabkan ramai ibu bapa terpaksa membuat pilihan sukar, sama ada menghantar anak ke sekolah arus perdana yang mungkin tidak memenuhi keperluan mereka atau berulang-alik ke negeri lain bagi mendapatkan rawatan dan pendidikan yang sesuai.

Menyedari keperluan tersebut, Sekolah Rendah Pendidikan Khas Playvelope ditubuhkan pada tahun 2024 dengan matlamat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih tersusun dan menyokong perkembangan kanak-kanak mengikut keupayaan masing-masing.

Sekolah ini mengaplikasikan pendekatan holistik melalui nisbah guru kepada pelajar yang kecil, pelan pembelajaran individu, persekitaran mesra deria serta kerjasama antara pendidik dan profesional kesihatan seperti ahli terapi carakerja dan psikologi klinikal.

Pengasasnya, Muhammad Aidil Rizqie bin Darmalingam berkata, kanak-kanak dengan perbezaan perkembangan memerlukan pendekatan pembelajaran yang berbeza dan lebih tersusun.

“Apabila persekitaran disediakan mengikut keperluan deria, komunikasi dan tingkah laku mereka, kita dapat melihat perkembangan bukan sahaja dalam akademik, malah keyakinan diri, kemahiran sosial dan keupayaan berdikari,” katanya.

Menurutnya, kejayaan bagi kanak-kanak berkeperluan khas tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya melibatkan perkembangan harian seperti keupayaan berkomunikasi, mengawal emosi serta berinteraksi dengan rakan sebaya.

Dalam masa sama, sekolah tersebut turut menekankan penglibatan ibu bapa sebagai sebahagian daripada ekosistem sokongan kepada anak-anak.

Melalui inisiatif seperti kumpulan sokongan ibu bapa, keluarga dapat berkongsi pengalaman, mendapatkan panduan daripada pakar serta membina jaringan komuniti yang saling membantu.

Penubuhan sekolah ini dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh pendidikan inklusif di Malaysia, selain memastikan lebih ramai kanak-kanak berkeperluan khas mendapat akses kepada pendidikan yang sesuai.

Bagi ibu bapa di Negeri Sembilan, kewujudan institusi seperti ini bukan sahaja memberikan pilihan, malah membuka harapan baharu terhadap masa depan anak-anak mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button