Berita

Bubbles O2 Rakan Penaja Baharu NSFC

SEREMBAN: Syarikat air mineral beroksigen, Bubbles O2 diumumkan sebagai rakan penaja rasmi Negeri Sembilan FC (NSFC) menerusi satu majlis penyerahan cek tajaan yang berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri, di sini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, kerjasama strategik itu mencerminkan kepercayaan sektor korporat terhadap potensi dan hala tuju pasukan Negeri Sembilan selain mampu memperkukuh pengurusan serta meningkatkan prestasi skuad ‘Hobin Jang Hobin’ dalam saingan bola sepak tempatan.

“Selain sumbangan kewangan, Bubbles O2 turut memainkan peranan penting dalam memastikan keperluan hidrasi pemain sentiasa terjaga sepanjang musim latihan dan perlawanan.

“Dengan kualiti air mineral beroksigen tinggi yang dibekalkan, ia dijangka dapat membantu meningkatkan kecergasan serta menyokong pemulihan fizikal pemain” katanya.

Menurut Faliq, penajaan ini bukan sekadar sumbangan dana tetapi turut melibatkan perkongsian visi untuk melihat bola sepak Negeri Sembilan terus berkembang.

“Kami berharap sokongan hidrasi berkualiti ini dapat membantu mempercepat pemulihan dan meningkatkan kecergasan pemain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2 Sdn. Bhd., Abdul Aziz Ariffin berkata, pihaknya komited untuk terus menyumbang kepada komuniti setempat, khususnya dalam bidang sukan.

Menurutnya, penajaan tersebut bukan sekadar simbolik sebaliknya merupakan komitmen jangka panjang dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

“Hari ini bukan sekadar simbolik penyerahan cek tajaan tetapi merupakan komitmen jangka panjang kami dalam menyokong pembangunan sukan, khususnya bola sepak di Negeri Sembilan.

“Kami percaya sukan bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah menjadi platform penting dalam membentuk disiplin dan jati diri generasi muda,” katanya.

Majlis berkenaan disempurnakan di hadapan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun yang juga merangkap Pengerusi NS FC, bersama barisan kepimpinan kelab termasuk Ketua Pegawai Eksekutif NS FC, Faliq Firdaus.

Show More

Related Articles

Back to top button