Budak 2 tahun meninggal dunia, Aminuddin ucap takziah
SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta yang diletakkan di Jalan Tuanku Hassan, semalam.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada ibu serta keluarga mangsa.
Beliau berkata kejadian ini amat mengejutkan terutamanya kerana ia berlaku di kawasannya sendiri.
“Saya amat berdukacita menerima berita ini dan ingin merakamkan ucapan takziah kepada ibu serta keluarga mangsa. Ini satu kehilangan yang amat besar dan menyayat hati,” katanya ketika ditemui sewaktu sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang berlangsung di Wisma Negeri hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa kejadian tersebut dipercayai secara tidak disengajakan dan berkemungkinan berpunca daripada tekanan kerja serta kesibukan harian yang dialami oleh ibu bapa.
“Walaupun saya yakin perkara ini tidak dirancang, ia perlu diberi perhatian serius. Ibu bapa harus sentiasa peka dan berhati-hati kerana kita tidak pernah menyangka perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya.
Jenazah mangsa akan disolatkan pada waktu Asar hari ini dan beliau turut akan hadir sebagai tanda penghormatan kepada keluarga mangsa.
Beliau turut berharap agar semua ibu bapa menjadikan tragedi ini sebagai peringatan dan sentiasa mengutamakan keselamatan anak-anak mereka.
Menurut laporan, kanak-kanak tersebut dipercayai berada di dalam kenderaan berkenaan sejak waktu pagi dan kejadian hanya disedari beberapa jam kemudian. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes kini dalam siasatan pihak polis dan orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.




