Berita

Cha cadang syarikat konsesi tanggung 50 peratus kos tol percuma

RASAH: Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin mencadangkan syarikat konsesi lebuh raya menanggung 50 peratus kos tol percuma ketika musim perayaan utama.

Cha berkata, beliau menyokong Kerajaan MADANI yang memberikan tol percuma selama dua hari setiap kali perayaan utama di seluruh negara, kecuali di sempadan negara pada tahun lepas.

“Ia satu langkah yang sangat baik sebab misal kata ketika sambutan Tahun Baru Cina, tol percuma bukan diberikan kepada kaum Cina sahaja tetapi semua rakyat Malaysia yang menggunakan lebuh raya mendapat manfaat tersebut.

“Tetapi pada tahun ini, tiada tol percuma tetapi diskaun tol 50 peratus kepada pengguna lebuh raya.

“Saya difahamkan apabila tol percuma diberikan selama dua hari, ia melibatkan kos sebanyak RM40 juta.

“RM40 juta ini bukan untuk satu organisasi atau satu pihak tetapi untuk jutaan rakyat Malaysia,” jelas beliau.

Cha berkata, kos yang dibelanjakan ini sangat berbaloi dan kaedah tol percuma wajar diteruskan

“Sekiranya kerajaan kekal dengan kaedah masa kini iaitu diskaun tol sebanyak 50 peratus, apa kata kos selebihnya sebanyak 50 peratus itu pula ditanggung oleh syarikat konsesi.

“Sebab syarikat konsesi lebuh raya ini sudah menikmati keuntungan yang banyak.

“Sudah tiba masanya syarikat konsesi lebuh raya menggunakan CSR mereka untuk bantu rakyat Malaysia ketika musim perayaan utama,” kata Cha semasa sesi perbahasan di Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Show More

Related Articles

Back to top button