Empat kilang haram diserbu dan disita
SEREMBAN: Empat buah beroperasi secara haram sejak empat tahun lalu telah diserbu dan disita.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kilang tersebut diserbu setelah satu operasi Ops Toksik yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Badan Kawal Selia Air (BKSA), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan ALam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kilang tersebut diserbu setelah mendapat beberapa maklumat daripada hasil risikan yang dijalankan.
“Hasil serbuan mendapati dua premis tidak bernama dan dua premis milik New Point Manufacturing Sdn. Bhd. menjalankan aktiviti peleburan sisa bertoksik tanpa kelulusan JAS.
“Aktiviti peleburan tersebut mampu memberi kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat.
“Kesemua premis ini juga terletak kira-kira 50 meter daripada Sungai Linggi dan 400 meter daripada Empangan Sungai Terip.
“Oleh itu, ia mampu mengundang bahaya lebih-lebih lagi apabila hujan, ini kerana sisa takungan toksik ini akan mengalir ke dalam Sungai Linggi dan mengundang ancaman kesihatan kepada penduduk Port Dickson.
“Operasi yang dijalankan ini dilihat berjaya dengan tangkapan terhadap pengusaha premis dan penyitaan menyeluruh di kawasan premis.
“Kertas siasatan berasingan terhadap kesemua kesalahan akan dibuka oleh agensi yang berkaitan.
“Saya juga telah mengarahkan supaya SAINS dan TNB untuk memotong segala bekalan elektrik dan air,” kata Aminuddin.