BeritaProgram

FRN 2026 Sasar 400,000 Pengunjung, Angkat Warisan Adat dan Budaya Negeri Sembilan Sempena Tahun Melawat Malaysia

SEREMBAN: Festival Rentak Negeri 2026 (FRN) yang bakal berlangsung dari 26 hingga 28 Jun ini di Pantai Batu 1, Port Dickson menyasarkan kehadiran seramai 400,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Menurut, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan, Mohd Zuhairi Ibrahim, sasaran itu ditetapkan selepas festival berkenaan berjaya menarik kehadiran seramai 246,500 pengunjung pada tahun lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen “Tamu Kito” yang disiarkan menerusi Facebook Live Negeri FM dan dikendalikan oleh penyampai radio, Nentebabo.

“Festival Rentak Negeri 2026 merupakan anjuran JKKN Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson dan HAVOC Food Festival.

“Kami mengetengahkan tema “Lantai Adat, Laman Budayo” yang menonjolkan keunikan seni, budaya dan tradisi Negeri Sembilan berasaskan warisan Adat Perpatih” katanya.

Tambahnya, FRN turut tersenarai dalam kalendar aktiviti sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 selain berperanan sebagai platform memperkenalkan seni budaya tempatan kepada generasi muda serta menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Sembilan.

“Objektif utama festival ini adalah untuk memartabatkan seni dan budaya tradisional Negeri Sembilan di peringkat nasional dan antarabangsa di samping memupuk minat generasi muda terhadap warisan tempatan.

“Ia juga menjadi medium pelancongan budaya yang mampu membantu meningkatkan ekonomi setempat menerusi jualan produk budaya dan aktiviti pelancongan,” katanya.

Mohd Zuhairi berkata, pelbagai pengisian menarik telah disusun sepanjang festival berkenaan termasuk Malam Gala Festival Rentak Negeri pada 27 Jun bermula jam 8.30 malam selain persembahan Tarian Piring Lambung Mega yang melibatkan 100 penari daripada pelbagai kaum terdiri daripada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di Negeri Sembilan.

“FRN turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Dato’ Nash dan Drama Band selain pelbagai pertandingan termasuk Menghias Replika Rumah Tradisional Negeri Sembilan, Perarakan Tandu Pengantin, Pertandingan Seni Silat Malaysia, Pertandingan Bintang Kecil RTM, Peragaan Busana Kitar Semula Kanak-Kanak, Kejohanan Senam Seni 2.0 Sekolah Terbuka, Kejohanan Tarian Singa Akrobatik dan Bendera Gergasi Chingay serta Aborigine Idol.

“Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti sampingan seperti HAVOC Food Festival, Colours of Malaysia, Festival Rentak Negeri Fun Walk dan cabutan bertuah yang dijangka menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat”katanya.

Sementera itu, seramai 80 Sukarelawan Budaya daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan akan terlibat membantu pelaksanaan program selain penglibatan Program International Media Soft Adventure Johor dan Negeri Sembilan.

“FRN terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk penggiat seni, keluarga, pelajar serta pelancong dalam dan luar negara dengan kemasukan adalah percuma.

“Harapan kami agar Festival Rentak Negeri terus menjadi ikon seni budaya Negeri Sembilan yang dinanti-nantikan setiap tahun. Kami mahu masyarakat khususnya generasi muda, mengenali dan menghargai warisan budaya negeri ini.

“Pada masa sama, kami berharap festival ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan budaya serta memperkukuh perpaduan masyarakat melalui seni dan budaya,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button