Berita

Geran Khas RM342,000 Perkasa Peranan KRT Sebagai Penggerak Perpaduan Komuniti

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan geran khas berjumlah RM342,000 kepada 342 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri sebagai usaha memperkukuh perpaduan dan memperkasa pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pemberian geran tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya merupakan pelaburan sosial yang mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan masyarakat.

Menurut beliau, geran yang disalurkan mencerminkan keyakinan Kerajaan Negeri terhadap keupayaan dan kredibiliti kepimpinan KRT dalam merancang serta melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

“Geran yang disampaikan pada hari ini merupakan manifestasi keyakinan Kerajaan Negeri terhadap keupayaan dan kredibiliti kepimpinan Kawasan Rukun Tetangga dalam merancang serta melaksanakan program-program yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran Khas Kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tahun 2026 Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini, hari ini.

Beliau berharap semua jawatankuasa KRT dapat memanfaatkan geran yang diterima dengan penuh amanah, berhemah dan telus bagi memastikan setiap peruntukan digunakan untuk program yang memberi kesan positif kepada masyarakat setempat.

Aminuddin berkata, inisiatif yang dilaksanakan melalui geran berkenaan boleh memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan masyarakat, membangunkan potensi belia, memperkasa institusi keluarga, membantu golongan warga emas, meningkatkan keselamatan kejiranan serta menyemarakkan budaya kesukarelawanan.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah program komuniti tidak hanya diukur berdasarkan jumlah peserta atau nilai perbelanjaan, sebaliknya melalui peningkatan semangat kejiranan, kepercayaan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Dalam majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan sukarelawan KRT yang disifatkan sebagai rakan strategik kerajaan dalam membina masyarakat yang harmoni, prihatin dan berdaya tahan.

Program tersebut turut dihadiri Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Datuk Hajah Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Sehingga kini, terdapat 342 KRT yang aktif di seluruh Negeri Sembilan dengan pelbagai program dilaksanakan melalui penglibatan Jiran Wanita, Jiran Muda, Jiran Warga Emas dan Tunas Jiran bagi memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan komuniti.

Show More

Related Articles

Back to top button