Berita

Negeri Sembilan, Uni Enrol lancar Biasiswa Aspirasi 2026 bernilai RM1.3 juta

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan dan Uni Enrol memperkenalkan program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026; satu inisiatif yang lahir daripada keyakinan bahawa setiap anak Negeri Sembilan berhak diberikan peluang untuk mengembangkan potensi diri mereka sehingga ke tahap yang tertinggi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata. beliau percaya bahawa kecemerlangan tidak mengenal latar belakang.

“Anak yang lahir di bandar mempunyai peluang untuk berjaya. Begitu juga anak yang membesar di kampung, di kawasan FELDA, di estet, di perkampungan tradisional mahupun di kawasan pedalaman.

“Kita sedang membuka pintu harapan. Kita sedang memberikan keyakinan kepada ibu bapa dan yang lebih penting, kita sedang menghantar satu mesej yang jelas kepada seluruh anak muda Negeri Sembilan bahawa kerajaan akan terus berdiri bersama mereka dalam usaha mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih gemilang,” ujar beliau.

Menurut Aminuddin, melalui program ini, sebanyak 29 tawaran biasiswa dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta disediakan khusus kepada anak-anak Negeri Sembilan yang memenuhi syarat kelayakan.

“Nilai ini mungkin dilihat sebagai satu angka, namun bagi saya, ia membawa makna yang jauh lebih besar.

“Di sebalik 29 tawaran biasiswa ini, tersimpan 29 impian yang bakal diterjemahkan menjadi kenyataan.

“Tersimpan harapan ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka menggenggam segulung ijazah.

“Apa yang lebih membanggakan ialah program ini tidak hanya menawarkan bantuan kewangan semata-mata.

“Pendekatan yang dibawa jauh lebih menyeluruh dan berorientasikan keperluan sebenar pelajar,” ulas beliau lagi.

Aminuddin menjelaskan, selain pembiayaan pengajian, para pelajar turut akan menerima khidmat kaunseling pendidikan, bimbingan berkaitan peluang biasiswa serta sokongan dalam proses penempatan ke institusi pengajian tinggi yang bersesuaian.

“Justeru, usaha menyediakan bimbingan yang komprehensif ini merupakan satu nilai tambah yang amat besar.

“Kita bukan sekadar mahu melihat lebih ramai anak Negeri Sembilan memasuki universiti, tetapi kita mahu mereka memasuki universiti yang tepat, memilih bidang yang bersesuaian dan akhirnya menamatkan pengajian sebagai graduan yang benar-benar memenuhi kehendak industri serta mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” kata Aminuddin.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim yang mewakili Aminuddin membacakan teks ucapan Aminuddin di Majlis Pelancaran Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026 di Klana Resort, Seremban.

Show More

Related Articles

Back to top button