Pesakit patah tulang di Taman Pantai Mas terima sumbangan katil perubatan

SRI TANJUNG: Seorang penduduk Taman Pantai Mas, Seda Letchimmy yang mengalami masalah tulang patah menerima sumbangan katil perubatan bagi membantu keselesaan harian serta melancarkan proses pemulihannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran berkata, sumbangan itu disampaikan hasil keprihatinan sebuah NGO iaitu MyKasihCare menerusi wakilnya, Syed Shukri.
“Jutaan terima kasih dan penghargaan diucapkan kepada pihak MyKasihCare, Encik Syed Shukri atas keprihatinan dan sumbangan katil perubatan ini.
“Kerjasama dan sumbangan sebegini amat bermakna dalam usaha berterusan memastikan kebajikan komuniti sentiasa terbela dan beban keluarga yang diuji dapat diringankan,” kata beliau.
Beliau berkata, kemudahan katil perubatan itu diharap dapat memberi keselesaan kepada Seda Letchimmy sepanjang menjalani rawatan dan proses pemulihan.
Rajasekaran turut mengajak orang ramai mendoakan agar wanita itu dikurniakan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatannya.




