Berita

Senarai Calon PH Negeri Sembilan Diumumkan 14 Julai Ini

SEREMBAN: Senarai penuh calon Pakatan Harapan (PH) yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan diumumkan secara rasmi pada 14 Julai ini.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pengumuman tersebut akan dibuat oleh Pengerusi PH, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim dalam satu majlis yang dijadual berlangsung di Kuala Pilah.

“Segala persoalan berkaitan calon yang akan mewakili gabungan itu termasuk kerusi yang bakal ditandinginya akan terjawab selepas pengumuman rasmi dibuat minggu hadapan.

“Saya tiada apa-apa komen lagi. Saya pun tidak tahu, tunggu 14 Julai nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Geran Khas Kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Negeri Sembilan Tahun 2026 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai beberapa individu yang telah mula memperkenalkan diri sebagai calon PH di kawasan tertentu, Aminuddin berkata perkara itu terpulang kepada individu berkenaan, namun menegaskan bahawa pengumuman rasmi parti wajar dijadikan rujukan utama.

Beliau berkata, orang ramai dan jentera parti disaran menunggu pengumuman rasmi yang akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi PH bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

PRN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini bagi memilih wakil rakyat yang akan menerajui pentadbiran negeri bagi penggal baharu.

Show More

Related Articles

Back to top button