Nelayan Port Dickson Terima Bantuan dan Insentif RM870,000 Melalui Program Rahmah Mesra MADANI LKIM

SEREMBAN: Seramai 29 nelayan dari kawasan Port Dickson dan Telok Kemang menerima pelbagai bantuan serta insentif berjumlah RM870,000 menerusi Majlis Rahmah Mesra MADANI Bersama Nelayan Port Dickson yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Dewan Bagan Pinang, hari ini.
Program yang disempurnakan oleh Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil itu menjadi platform untuk kerajaan mendekati komuniti nelayan, mendapatkan maklum balas secara langsung serta meneliti cabaran semasa yang dihadapi golongan berkenaan bagi memperkukuh pembangunan sektor perikanan negara.
Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan komitmennya dalam menjaga kebajikan nelayan sebagai antara golongan sasar utama yang memainkan peranan penting dalam menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.
Selain memastikan kebajikan komuniti nelayan terus dipelihara, kementerian turut komited meningkatkan pengeluaran dan bekalan makanan khususnya hasil perikanan agar sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.
Dalam majlis tersebut, bantuan bernilai RM95,000 disalurkan menerusi Program Peningkatan Produktiviti Nelayan B40 yang memanfaatkan 29 penerima. Bantuan diberikan secara in-kind melibatkan pelbagai peralatan menangkap ikan seperti jaring, kotak insulasi, bentoh ketam serta bot bagi membantu meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan nelayan.
Program berkenaan diwujudkan bagi meningkatkan taraf hidup nelayan B40 melalui penyediaan peralatan yang mampu meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor perikanan.
Bantuan yang ditawarkan merangkumi peralatan seperti enjin, sampan, pukat, jaring dan tong penyimpanan ikan dengan nilai maksimum sehingga RM45,000 bagi setiap penerima yang layak.
Pemilihan penerima dibuat berdasarkan rekod pendaratan ikan yang diisytiharkan dalam sistem e-pengisytiharan serta pemilikan lesen vesel yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Turut disampaikan dalam majlis berkenaan ialah mock cheque Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) berjumlah RM483,000 yang telah disalurkan kepada nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Port Dickson dan PNK Telok Kemang bagi tempoh sehingga Jun 2026.
Selain itu, Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) menerima peruntukan RM292,000 yang melibatkan pembinaan tiga rumah baharu serta kerja-kerja baik pulih dua rumah nelayan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, statistik LKIM menunjukkan sektor perikanan Negeri Sembilan terus menyumbang kepada bekalan makanan negara apabila merekodkan pendaratan ikan sebanyak 317,241.28 kilogram bernilai RM5.23 juta sepanjang tahun 2025.
Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula, sebanyak 157,763.10 kilogram hasil perikanan bernilai RM2.85 juta telah didaratkan di negeri berkenaan.
Dari segi bantuan subsidi bahan api, nelayan Negeri Sembilan menerima subsidi diesel sebanyak RM125,904.90 melibatkan 76,306 liter pada tahun 2025, manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 sebanyak RM58,291.20 disalurkan melibatkan 35,328 liter.
Bagi subsidi petrol pula, sejumlah RM939,452.25 melibatkan 569,365 liter telah dinikmati nelayan di negeri itu sepanjang tahun lalu, manakala RM413,965.20 bagi 250,888 liter telah disalurkan untuk enam bulan pertama tahun ini.
Turut hadir Pengarah LKIM Negeri Sembilan, Muhammad Afiq Zali; Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam; dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson, Muhammad Iskandar Firdaus Awaludin.



