Mahkamah benar permohonan prosiding komital DKU terhadap enam plaintif

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di Seremban membenarkan permohonan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin bersama DKU untuk memulakan prosiding komital terhadap enam plaintif yang didakwa gagal mematuhi Perintah Injunksi Ad Interim yang dikeluarkan pada 5 Jun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Roz Mawar Rozain selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak menerusi prosiding secara sidang video yang berlangsung pada 7 dan 8 Julai.
Dalam keputusannya, mahkamah mendapati defendan pertama, Raja Norazli, serta defendan kedua, DKU, berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie bagi membolehkan prosiding komital diteruskan terhadap Dato’ Mubarak Dohak, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashid, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammed Abdullah, Dato’ Sedia Raja Abdul Rahim Yasin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Dato’ Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.
Perintah injunksi berkenaan antara lain melarang keenam-enam plaintif daripada mengadakan, memanggil, meneruskan atau menghadiri sebarang mesyuarat DKU, termasuk Sidang Khas yang diumumkan pada 5 Jun 2026.
Mereka turut dihalang daripada menggantung, menyingkir atau mengganggu Raja Norazli dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Setiausaha DKU mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Selain itu, perintah tersebut melarang mereka menubuhkan atau melantik mana-mana jawatankuasa atau individu bagi mengambil alih kuasa Setiausaha DKU, mengeluarkan kenyataan bagi pihak DKU, membuat atau melaksanakan keputusan berkaitan pentadbiran serta tadbir urus DKU, selain mengambil sebarang tindakan yang mengubah status quo sebelum 21 Mei 2026.
Dalam prosiding sama, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan plaintif untuk menangguhkan prosiding komital berhubung dakwaan penghinaan terhadap mahkamah.
Mahkamah menetapkan 28 Julai ini sebagai tarikh pendengaran permohonan substantif bagi prosiding komital tersebut.
Plaintif diwakili peguam Tuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, Dato’ Mohammed Rhiza Ghazi, Dato’ Firoz Hussein, Woo J Enn, Asmawi Ismail dan Emirul Sarifudin Nor Azmi.
Raja Norazli dan DKU pula diwakili Steven Thiru, Shafrin Halim serta Gurjeevan Singh Sachdev.



