Jangan Tunggu Tragedi Berlaku, Beri Perhatian Serius Terhadap Kesihatan Mental Generasi Muda

SEREMBAN: Sejak akhir- akhir ini, perkembangan yang melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja sewajarnya menjadi perhatian serta tanggungjawab semua pihak kerana kesejahteraan mental generasi muda merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang sihat.
Menurut Presiden Pertubuhan Ikon Malaysia, Mia Nurhamizah Abdul Ghapar, situasi yang berlaku ketika ini tidak lagi boleh dilihat sebagai isu disiplin semata-mata sebaliknya mencerminkan keperluan untuk memberi perhatian yang lebih menyeluruh dan berterusan terhadap kesejahteraan mental generasi muda.
“Perubahan tingkah laku, kecenderungan bertindak agresif, kemurungan, kebimbangan melampau serta tindakan di luar kawalan bukan berlaku secara tiba-tiba sebaliknya merupakan manifestasi tekanan emosi, konflik dalaman atau trauma yang dipendam tanpa saluran sokongan yang mencukupi.
“Justeru, setiap perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak perlu dilihat sebagai isyarat awal yang memerlukan perhatian dan intervensi, bukannya sekadar dinilai melalui pendekatan hukuman,” katanya
Mia berkata, institusi keluarga merupakan asas kepada pembentukan kesejahteraan emosi seseorang anak manakala ibu bapa ialah individu pertama yang membentuk rasa selamat, keyakinan diri dan daya tahan emosi mereka.
“Komunikasi yang terbuka, kehadiran emosi (emotional presence), sokongan psikososial serta pemantauan terhadap perubahan tingkah laku dan penggunaan media sosial perlu menjadi sebahagian daripada amalan keibubapaan dalam landskap digital masa kini”.
Dalam pada itu, Mia berkata guru dan institusi pendidikan memainkan peranan penting sebagai pendidik, pembimbing serta pengesan awal terhadap perubahan tingkah laku pelajar.
“Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk meletakkan keseluruhan tanggungjawab membentuk sahsiah dan menjaga kesejahteraan mental anak-anak di bahu pihak sekolah semata-mata.
“Pendidikan merupakan satu ekosistem yang bermula di rumah, diperkukuh di sekolah dan disokong oleh masyarakat yang menyediakan persekitaran selamat untuk perkembangan mereka,” katanya.
Mia turut menegaskan bahawa media sosial mempunyai pengaruh yang besar terhadap pembentukan nilai, persepsi dan cara berfikir generasi muda.
“Lambakan kandungan yang menormalisasikan budaya kebencian, buli, penghinaan, keganasan, dendam serta tingkah laku toksik berpotensi menghakis sensitiviti moral dan empati khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang masih berada pada fasa perkembangan kognitif dan emosi.
“Tanpa pemantauan sewajarnya serta pengukuhan literasi digital dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak, ruang digital boleh menjadi medium yang membentuk persepsi serta tingkah laku secara negatif,” katanya.
Mia berkata, kesihatan mental bukan lagi sekadar isu kesihatan awam malah merupakan agenda penting dalam pembangunan modal insan dan kelestarian negara.
“Negara yang ingin melahirkan masyarakat berdaya saing tidak boleh hanya memberi penekanan kepada pencapaian akademik semata-mata sebaliknya perlu memastikan setiap anak membesar dalam persekitaran yang sihat dari sudut emosi, psikologi dan sosial.
“Anak-anak yang menerima sokongan emosi yang mencukupi lebih berpotensi menjadi individu yang berdaya tahan, memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, mampu mengurus konflik secara matang serta menyumbang secara positif kepada pembangunan negara,” katanya.
Mia amat menekankan usaha memperkukuh kesihatan mental anak-anak memerlukan pendekatan whole-of-society yang menggabungkan peranan keluarga, institusi pendidikan, agensi kerajaan, profesional kesihatan mental, pertubuhan masyarakat sivil, syarikat teknologi, platform media sosial serta komuniti setempat.
“Cabaran yang semakin kompleks tidak boleh diselesaikan oleh satu institusi secara bersendirian.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga sesuatu tragedi berlaku sebelum bertindak.
“Pencegahan sentiasa lebih berkesan daripada rawatan.
“Mendengar, memahami dan bertindak pada peringkat awal merupakan pelaburan paling bernilai dalam membina generasi yang lebih sejahtera,” katanya.
Dalam pada itu, Mia berkata, melindungi kesihatan mental anak-anak bukan sekadar memenuhi tanggungjawab terhadap sebuah keluarga tetapi merupakan pelaburan strategik untuk menjamin masa depan negara.
“Masa depan Malaysia tidak hanya ditentukan oleh kecerdasan intelektual generasi muda malah turut bergantung kepada kekuatan emosi, nilai kemanusiaan dan kesejahteraan mental yang kita bina dalam diri mereka hari ini,” katanya.



