YB Kita

Gunasekaren agih bubur lambuk sempena Ramadan di Taman Seremban Jaya

SEREMBAN JAYA: Pusat Khidmat Rakyat DUN Seremban Jaya dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Fasa 5, Taman Seremban Jaya telah mengadakan program memasak dan mengagihkan bubur lambuk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P.Gunasekaren berkata, program ini diadakan sempena sambutan bulan Ramadan untuk mengeratkan silaturahim antara masyarakat, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya telah menyumbang RM500 kepada KRT Fasa 5, Taman Seremban Jaya untuk menjayakan program ini.

“Semoga aktiviti seperti ini dapat terus memperkukuhkan hubungan harmoni dalam masyarakat kita.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” ujar Gunasekaren.

Dalam pada itu, Gunasekaren menyentuh pesanan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kesedaran tentang isu rasuah, termasuk isu 3R (Race, Religion, Royalty), yang sering disalahgunakan bagi kepentingan peribadi dan politik.

“Rakyat perlu bersatu menolak amalan rasuah demi memastikan negara terus berkembang dengan prinsip keadilan dan integriti.

“Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun turut menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha membanteras rasuah serta memperkukuhkan tata kelola pentadbiran yang bersih dan telus.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengungkit isu 3R bagi kepentingan politik atau untuk menimbulkan ketegangan dalam masyarakat,” ujar beliau.

Gunasekaren menekankan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kuasa penuh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang cuba menggugat keharmonian negara melalui isu-isu sensitif ini.

“Dalam masa yang sama, saya menghargai peranan PDRM dalam menjaga keamanan dan kestabilan negara, serta usaha mereka dalam membanteras jenayah dan rasuah demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button