YB Kita

Gunasekaren dan Cha agih bubur lambuk sempena sambutan Ramadan

SEREMBAN JAYA: Pusat Khidmat Rakyat DUN Seremban Jaya telah mengadakan Program Agihan Bubur Lambuk kepada orang ramai sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Dalam program ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, Dato’ P. Gunasekaren bersama Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin telah mengagihkan bubur lambuk dan buah kurma kepada para pengunjung di Bazar Ramadan Pasar Awam Seremban Jaya.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama serta sumbangan daripada Ahli Majlis Bandaraya Seremban bagi memeriahkan lagi suasana Ramadan serta menyantuni masyarakat setempat.

Menariknya, edaran Bubur Lambuk ini melibatkan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama, di mana semua pengunjung bersama-sama mengambilnya sebagai tanda kebersamaan dan menghormati kemuliaan bulan Ramadan.

“Pada sambutan kali ini, dua jenis bubur lambuk telah disediakan iaitu Bubur Lambuk Ayam dan Bubur Lambuk Daging.

“Penyediaan dua jenis bubur ini adalah bagi menghormati adat, tradisi serta kepercayaan masyarakat yang berbeza, supaya semua dapat menikmati hidangan ini dengan selesa.

“Terima kasih diucapkan kepada YB Cha di atas sumbangan buah kurma, serta penghargaan kepada Pembantu Ahli Majlis, Pengerusi dan Setiausaha KRT, serta Team DUN Seremban Jaya yang bersama-sama berganding bahu menjayakan program ini dengan penuh semangat kebersamaan.

“Semoga usaha ini dapat mengeratkan lagi perpaduan dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat di Seremban Jaya,” kata Gunasekaren.

Show More

Related Articles

Back to top button