Berita

Gunasekaren ziarah mangsa kebakaran diugut Ah Long

SEREMBAN JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, Dato’ P. Gunasekaren telah turun padang bagi menziarah mangsa kejadian kebakaran mencurigakan di No. 1930, Jalan SJ 1/4, Taman Seremban Jaya Fasa 1.

Gunasekaren berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.00 pagi itu, sebuah rumah dilaporkan terbakar dipercayai mempunyai kaitan dengan ugutan daripada pihak Ah Long, susulan laporan yang dibuat mangsa sebelum ini.

“Menurut maklumat, insiden tersebut dipercayai berlaku selepas satu sidang media diadakan pada 13 Mac lalu di Pusat Khidmat DUN Seremban Jaya berhubung isu Ah Long, di mana mangsa tampil memberikan keterangan serta membuat laporan polis mengenai ugutan yang diterima.

“Susulan tindakan berkenaan, pihak Ah Long dipercayai tidak berpuas hati dan bertindak mengeluarkan ugutan, namun berlaku kesilapan apabila serangan tersebut tersasar dan melibatkan rumah jiran yang tidak berkaitan, selain turut menampal notis amaran di lokasi kejadian.

“Oleh itu saya telah hadir ke lokasi kejadian turut meninjau keadaan rumah terlibat serta bertemu penduduk setempat bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

“Saya bimbang terhadap tahap keselamatan penduduk di kawasan berkenaan dan menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu terlibat supaya kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat harus sentiasa menjadi keutamaan bagi mengelakkan insiden jenayah berulang di kawasan perumahan.

Show More

Related Articles

Back to top button