Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Menzahirkan Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau Yang Baharu Diadakan Esok

SERI MENANTI: Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan (Menzahirkan) Kejadian Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 dan Undang Luak Rembau Ke-22 akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, esok.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat menyempurnakan kedua-dua istiadat berkenaan yang akan berlangsung dalam dua sesi, iaitu pada sebelah pagi bagi menzahirkan kejadian Undang Luak Sungei Ujong dan sebelah petang bagi menzahirkan kejadian Undang Luak Rembau.
Perkenan itu dizahirkan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz selepas menerima menghadap rombongan Telaga Undang, Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta Waris Negeri Sungei Ujong di Istana Seri Menanti, hari ini.

Rombongan yang diketuai Waris Negeri Sungei Ujong, Datuk Sinda Maharaja Razlan Hamid mempersembahkan Muhammad Faris Johari, 29, sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 mengikut aturan adat yang ditetapkan.
Tunku Ali Redhauddin bertitah, baginda telah mendengar sembah maklum daripada wakil Luak Sungei Ujong bahawa proses pemilihan penyandang Pesaka Undang Luak Sungei Ujong dilaksanakan mengikut adat yang terpakai dan diamalkan dalam luak berkenaan.

“Saya ingin menyampaikan titah perkenan Ayahanda saya, Tuanku Muhriz yang berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong pada pagi Sabtu ini.
“Bagi urusan dan persiapan istiadat itu, Datuk-Datuk Adat bolehlah berbincang dengan Orang Empat Istana. Saya doakan segala urusan istiadat berjalan lancar,” titah baginda.
Dato’ Sinda Maharaja Razlan Abd Hamid ketika ditemui media berkata, Muhammad Faris yang juga seorang akauntan dipilih sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 menerusi Istiadat Kerapatan Buapak mengikut adat yang diamalkan di luak berkenaan.
“Hari ini kita telah mempersembahkan kepada Tunku Besar Seri Menanti bahawa Muhammad Faris Johari sebagai Dato’ Klana Petra yang baharu,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Faris dipilih secara sebulat suara menerusi Istiadat Kerapatan di Telaga Undang oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu.
Waris Nan Tua Klana Hulu, Orang Kaya Dato’ Laksamana Shaharumzaman Dato’ Lela Bangsa Abdul Malek berkata, pemilihan itu dilaksanakan mengikut undang-undang teradat yang berteraskan prinsip berkeadilan, berundang, bersalasilah dan berteromba pada 22 April lalu.
Sementara itu, semalam, Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Rembau turut menghadap Tunku Ali Redhauddin bagi mempersembahkan Hassan Ab Hamid, 67, sebagai Undang Luak Rembau Ke-22.
Pengerusi Kerapatan Buapak Lapan Kampung Waris Buanda Dua Carak, Datuk Juan Datuk Zulkipli Shamsudin berkata, perkenan bagi mengadakan istiadat itu diperoleh selepas Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau menghadap Tunku Besar Seri Menanti bagi memohon penetapan tarikh istiadat berkenaan.



