Berita

Veerapan sahkan aduan e-waste di Kg Puchong tidak berasas

RANTAU: Exco Keusahawan, SUmber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam mengesahkan aduan berhubung dakwaan aktiviti pemprosesan sisa elektronik (e-waste) di Kampung Puchong, Kuala Sawah didapati tidak berasas berdasarkan hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Alam Sekitar (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Veerapan berkata, siasatan yang dijalankan pada 8 Jun lalu mendapati premis yang diadukan merupakan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembuatan perabot kayu dan barangan seramik secara sah.

“Pemeriksaan menyeluruh turut mengesahkan bahawa tiada sebarang aktiviti pemprosesan e-waste dijalankan di lokasi tersebut dan tiada bahan e-waste ditemui di kawasan premis.

“Sehubungan itu, aduan yang diterima telah diklasifikasikan sebagai tidak berasas oleh pihak Jabatan Alam Sekitar.

“Walaupun aduan kali ini didapati tidak berasas, pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala oleh pihak berkuasa perlu diteruskan bagi memastikan semua premis mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan-peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Menurutnya, masyarakat disaran terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang berpotensi mencemarkan alam sekitar kerana kerjasama orang ramai amat penting dalam memastikan kawasan DUN Rantau kekal bersih, selamat dan lestari.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JAS Negeri Sembilan dan PDRM atas tindakan pantas serta siasatan profesional yang dijalankan bagi memastikan setiap aduan berkaitan alam sekitar diberi perhatian sewajarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button