
SRI TANJUNG: Penduduk Kampung Paya yang terjejas akibat banjir menerima suntikan semangat baharu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dato’ Dr. G. Rajasekaren menyerahkan sebanyak 1,000 benih anak ikan talapia bagi membantu mereka memulakan semula perusahaan ternakan ikan.
Rajasekaren berkata, kebanyakan penduduk di kampung berkenaan aktif mengusahakan kolam ternakan ikan, namun musibah banjir yang melanda sebelum ini menyebabkan mereka mengalami kerugian apabila kesemua ikan ternakan mati.
“Musibah banjir yang melanda tempoh hari telah membawa kerugian besar kepada para pengusaha apabila kesemua ikan ternakan mereka mati akibat bencana tersebut.
“Saya berharap sumbangan benih baharu ini dapat meniup kembali semangat mereka untuk memulakan semula perusahaan ternakan ikan.
“Mudah-mudahan inisiatif ini akan membuahkan hasil yang lumayan kepada para pengusaha dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.
Rajasekaren turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Perikanan Port Dickson, Tuan Nor Adha Shah Sabri yang hadir bersama bagi menyantuni para pengusaha serta meninjau sendiri keadaan perusahaan ternakan ikan di kampung tersebut.
Katanya, kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam membantu penduduk yang terjejas untuk kembali bangkit, sekali gus memperkukuhkan sumber pendapatan mereka melalui sektor akuakultur.



