YB Kita

SMK Dato’ Shahardin terima set kerusi dan meja baharu daripada Cha

RASAH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Shahardin menerima sebanyak 80 set meja dan kerusi baharu hasil sumbangan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin bagi memenuhi keperluan kemudahan pembelajaran di sekolah berkenaan.

Cha berkata, bantuan itu disalurkan selepas wakil pihak sekolah mengemukakan permohonan kepadanya bagi mendapatkan meja dan kerusi baharu untuk kegunaan pelajar.

“Sebelum ini, wakil sekolah telah mengunjungi saya dan memohon agar saya membantu membekalkan meja dan kerusi baharu. Saya bersetuju dengan permohonan tersebut kerana keperluan sekolah perlu diberi perhatian.

“Saya tidak sempat menghadiri majlis atau program di sekolah ini untuk mengumumkan peruntukan tersebut.

“Namun, itu bukan satu masalah kerana apa yang lebih mustahak adalah keperluan sekolah dapat dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 80 set meja dan kerusi baharu telah dihantar ke SMK Dato’ Shahardin bagi membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa kepada warga sekolah.

Menurutnya, beliau turut menerima jemputan menghadiri program di sekolah itu yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun ini, namun telah memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa beliau tidak dapat menghadirinya atas komitmen lain.

Cha berkata, beliau akan terus memberi perhatian terhadap keperluan institusi pendidikan di kawasan Parlimen Rasah agar kebajikan pelajar dan warga sekolah sentiasa terpelihara.

Show More

Related Articles

Back to top button