Berita

Istiadat Mengadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang Luak Rembau Ke-22 Diadakan Sabtu Ini

SERI MENANTI: Istiadat Mengadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang bagi bakal Undang Luak Rembau ke-22, Haji Hassan Abdul Hamid akan diadakan di Istana Seri Menanti, Sabtu ini.

Pengerusi Kerapatan Buapak Lapan Kampung Waris Buanda Dua Carak, Datuk Juan Datuk Zulkipli Shamsudin berkata, perkenan tersebut diperoleh selepas Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau mengadap Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti bagi memohon penetapan tarikh istiadat berkenaan.

“Istiadat itu merupakan antara proses penting dalam perjalanan Adat Perpatih bagi menzahirkan kejadian Undang Luak Rembau yang baharu.

“Tadi kita telah sama-sama menyaksikan bahawa pihak kami telah memohon perkenan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Alhamarhum Tuanku Munawir melalui aYang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz supaya diadakan satu majlis menyunjung kasih.

“Alhamdulillah, perkara itu telah dipersetujui dan insya-Allah akan diadakan pada hari Sabtu, 27 Jun, di Istana Seri Menanti pada jam 2.00 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Istiadat Mengadap Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti oleh Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau untuk memohon penetapan tarikh Istiadat Menyalang Bagi Menzahirkan Kejadian Undang bagi bakal Undang Rembau di Istana Seri Menanti, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Juan memaklumkan bahawa Haji Hassan Abdul Hamid telah dipilih sebagai bakal Undang Luak Rembau ke-22 menerusi kerapatan yang diadakan oleh anak-anak buah Kampung Tanjung mengikut lunas Adat Perpatih.

“Pemilihan tersebut telh dibuat oleh Kampung-Kampung Tanjung melalui Ibu Soko dan waris yang mempunyai hak menurut adat.

“Alhamdulillah, pada kerapatan yang diadakan oleh anak-anak buah Kampung Tanjung, Kampung-Kampung Tanjung daripada Ibu Soko dan juga warisnya telah memilih Haji Hassan Abdul Hamid untuk dijadikan Undang Luak Rembau yang ke-22,” tambahnya.

Terdahulu, Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau mengadap Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz bagi memohon perkenan penetapan tarikh istiadat tersebut yang menjadi sebahagian daripada proses adat sebelum bakal Undang dizahirkan secara rasmi.

Istiadat Menyalang yang akan berlangsung Sabtu ini dijangka menjadi detik penting dalam institusi Adat Perpatih Negeri Sembilan apabila bakal Undang Luak Rembau ke-22 dizahirkan mengikut adat dan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.

Show More

Related Articles

Back to top button