Pesta Buku Negeri Sembilan Jadi Platform Semai Budaya Membaca Dalam Kalangan Pelajar

SEREMBAN: Pesta Buku Negeri Sembilan 2026 menjadi platform penting dalam menyemarakkan budaya membaca serta memperkukuh minat terhadap ilmu dalam kalangan murid dan pelajar di negeri ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan merangkap Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS), Khalidah Omar berkata, penganjuran pesta buku itu merupakan hasil kerjasama erat antara Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan PPANS dalam usaha membudayakan amalan membaca.
“Semua murid dan pelajar di seluruh Negeri Sembilan digalakkan mengambil peluang mengunjungi pesta buku berkenaan bagi mendapatkan bahan bacaan yang bersesuaian dengan minat masing-masing.
“Program Pesta Buku ini merupakan satu kerjasama yang amat erat antara Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan.
“Kami menggalakkan semua anak-anak pelajar dan murid di seluruh Negeri Sembilan datang merebut peluang untuk bersama-sama memeriahkan Pesta Buku Negeri Sembilan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pesta Buku Negeri Sembilan dan Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, budaya membaca perlu terus dipupuk kerana ia merupakan asas kepada pembentukan ilmu dan pembangunan modal insan.
“Harapan kami sangat tinggi kerana seperti yang kita maklum, membaca adalah jambatan ilmu.
“Dengan adanya pesta buku ini, ia memberi ruang kepada anak-anak untuk datang memilih buku yang mereka minati. Insya-Allah saya berharap program ini dapat diteruskan dan memberi nilai tambah kepada anak-anak kita di sekolah,” tambahnya.
Majlis Perasmian Pesta Buku Negeri Sembilan dan Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026 hari ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi PPANS, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Pesta buku berkenaan telah mula berlangsung pada 24 Jun lalu sehingga 28 Jun akan datang.
Majlis itu turut dihadiri wakil jabatan dan agensi kerajaan, rakan strategik serta warga pendidikan dari seluruh Negeri Sembilan.
Pada majlis sama, sijil penghargaan disampaikan kepada Presiden Persatuan Kontraktor Buku Se-Malaysia, Adi Irwan Azhari, manakala Sijil Rakan Sinergi diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lembaga Muzium Negeri Sembilan serta KEMAS Negeri Sembilan atas kerjasama menjayakan program berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Bicara Berirama Bahasa Melayu dan Pertandingan Perbilangan Adat Perpatih.



