Berita

Muhammad Faris Dizahirkan Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 Di Istana Seri Menanti

SERI MENANTI: Negeri Sembilan hari ini menyaksikan Muhammad Faris Johari dizahirkan sebagai Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 dalam Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong yang berlangsung penuh adat istiadat di Istana Besar Seri Menanti.

Istiadat berkenaan disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Turut berangkat menyaksikan istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasbi Wan Yusof serta beberapa barisan Exco kerajaan negeri.

Istiadat dimulakan dengan Orang Empat Istana tampil menghadap Tuanku Muhriz bagi perkenan memulakan istiadat.

Pada istiadat tersebut, Muhammad Faris melafazkan sembah taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan penuh rasa syukur dan rendah diri.

“Patik dengan ini berikrar akan sentiasa menjunjung kedaulatan Tuanku, mempertahankan adat, mematuhi Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan serta melaksanakan amanah ini dengan penuh jujur, amanah, adil dan ikhlas,” katanya

Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 itu turut berjanji akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, memelihara maruah institusi adat serta memastikan keamanan dan keharmonian Luak Sungei Ujong terus terpelihara.

Dalam sembah taat setianya, beliau turut memohon limpah tunjuk ajar serta perkenan Yang di-Pertuan Besar agar diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam melaksanakan amanah tersebut.

Sementara itu, Tuanku Muhriz bertitah menyeru agar rakyat di Luak Sungei Ujong serta seluruh Luak Berundang dan Luak Tanah Mengandung terus bersama kepimpinan adat dalam memperkemas serta melaksanakan tanggungjawab adat dengan sebaik-baiknya.

“Beta turut menyeru agar rakyat Beta di Luak Sungei Ujong dan di semua Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung untuk bersama-sama dengan kepimpinan Adat bagi memperkemas serta melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab adat dengan baik.

“Hormati dan junjunglah nilai adat yang kita warisi sejak zaman berzaman dengan berpegang teguh kepada perbilangan Anak Buah Berbuapak, Suku Berlembago, Luak Berpenghulu, Alam Berajo,” titah baginda.

Baginda turut menasihatkan agar hubungan sesama masyarakat terus dipelihara dengan semangat perpaduan.

“Peliharalah tali persaudaraan dan hubungan baik antara satu sama lain ibarat bercincang berlandasan, melompek bertumpuan, air dicincang tidak akan putus,” titah baginda.

Dalam pada itu, Muhammad Faris bersama isterinya, Sharifah Amirah Ir Syed Ismail Ash-Shahab diarak masuk ke Balairong Seri bersama kira-kira 100 orang rombongan yang membawa barang adat istiadat.

Semalam, Tuanku Muhriz berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli bagi menyempurnakan istiadat berkenaan yang turut disampaikan melalui titah Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ketika menerima menghadap Datuk-Datuk Adat Luak Sungei Ujong.

Muhammad Faris yang memiliki kelayakan profesional Association of Certified Chartered Accountants (ACCA) pada 2022 turut berkhidmat sebagai akauntan di sebuah firma insurans dan perundingan risiko multinasional.

Beliau dipilih dan dilantik melalui muafakat waris adat Luak Sungei Ujong menggantikan Datuk Mubarak Dohak yang dilucutkan jawatan pada 17 April lalu sebelum dimasyhurkan pada 22 April.

Menurut kenyataan Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu, pelantikan itu dibuat melalui Istiadat Kerapatan Telaga Undang mengikut salasilah serta adat yang diwarisi.

Dalam pada itu, Orang Kaya Dato’ Laksamana Shahruzaman Abdul Malek berkata pemilihan tersebut dibuat secara muafakat berlandaskan adat dan teromba Luak Sungai Ujong.

Dalam istiadat ini, Tuanku Muhriz bertitah bahawa kepimpinan adat perlu terus menjunjung tinggi nilai warisan Adat Perpatih, memperkukuh semangat muafakat serta memastikan institusi Undang kekal utuh sebagai tunjang kepada sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button