Berita

Hassan dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22

SERI MENANTI: Tuan Haji Hassan bin Haji Ab Hamid telah dizahirkan sebagai Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Rembau ke-22, sekali gus bergelar Dato’ Sedia Raja dalam Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Rembau yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti.

 

Istiadat berkenaan disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

 

Turut berangkat menyaksikan istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz; serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

 

Turut hadir ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun bersama isteri, Datin Seri Wan Hasbi Wan Yusof, serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 

Istiadat dimulakan dengan Orang Empat Istana tampil menghadap Tuanku Muhriz bagi memohon perkenan untuk memulakan istiadat.

 

Dalam istiadat tersebut, Hassan Ab Hamid menyatakan bahawa beliau berikrar untuk memelihara dan mempertahankan kedaulatan Adat Perpatih serta mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

 

“Patik juga berjanji akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat di samping menjaga maruah institusi adat.

 

“Patik juga akan menjaga keamanan, perpaduan dan keharmonian Luak Rembau,” kata Hassan.

 

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah bahawa pelantikan tersebut merupakan satu amanah besar yang lahir daripada permuafakatan adat.

 

“Ia hendaklah dipikul dengan kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi memelihara keluhuran adat di Luak Rembau.

 

“Sebarang perselisihan atau permasalahan hendaklah ditangani dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan semangat muafakat,” titah Tuanku.

 

Tuanku turut menyambut baik taat setia yang telah disembahkan oleh Yang Teramat Mulia Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Haji Hassan bin Haji Ab Hamid.

 

“Beta berharap agar segala janji yang dilafazkan akan sentiasa dipegang dengan penuh amanah dan tanggungjawab,” titah baginda.

 

Haji Hassan bin Haji Ab Hamid merupakan seorang tokoh pendidikan dan lulusan Diploma Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar.

 

Sepanjang kerjayanya sebagai guru, beliau pernah dianugerahkan gelaran Guru Cemerlang pada tahun 1996 dan 2010.

 

Beliau juga merupakan penyandang Pesaka Godang, Dato’ Perba sejak tahun 2024 serta mantan Buapak Kampung Tanjung dari tahun 1998 hingga 2024.

 

Penzahiran tersebut adalah bagi menggantikan Undang Luak Rembau ke-21, Dato’ Lela Maharaja Dato’ Muhammad Sharip Othman yang meninggal dunia pada 15 Mei 2024 akibat komplikasi penyakit.

Show More

Related Articles

Back to top button