Festival Rentak Negeri perhebat Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026

PORT DICKSON: Program Pelancongan Budaya Festival Rentak Negeri 2026 yang bertemakan “Lantai Adat, Laman Budayo” menjadi platform penting dalam memperkukuhkan identiti budaya Negeri Sembilan di samping memperhebat persiapan sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, tema yang dipilih amat bertepatan kerana mengetengahkan keunikan negeri yang kaya dengan warisan seperti Adat Perpatih, seni bina tradisional, muzik caklempong, tarian piring lambung, permainan rakyat, busana tradisional dan makanan warisan.
“Jika kita mahu orang luar menghargai budaya Negeri Sembilan, maka rakyat Negeri Sembilan sendiri perlu menjadi duta budaya yang pertama.
“Kerajaan Negeri mahu melihat lebih ramai golongan muda mempelajari seni tradisional, memahami adat warisan serta berbangga mengangkat identiti Negeri Sembilan.
“Budaya bukan untuk dipamerkan sekali-sekala, tetapi perlu terus hidup dalam kehidupan masyarakat,” kata Aminuddin.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM148,000 bagi penyediaan Mini Pavilion Tahun Melawat Negeri Sembilan yang menghimpunkan penyertaan pelbagai pemain industri pelancongan.
Menurutnya, peruntukan tersebut bukan sekadar membiayai penganjuran festival, malah merupakan pelaburan strategik untuk memperkukuhkan ekonomi pelancongan negeri, meningkatkan keterlihatan produk tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan dan komuniti setempat.
“Semua usaha ini merupakan sebahagian daripada persediaan berterusan menjayakan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026,” ujar Aminuddin.
Aminuddin turut menegaskan bahawa Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 bukan sekadar kempen pelancongan, sebaliknya merupakan gerakan bersama yang melibatkan seluruh rakyat negeri ini.
“Kita mahu setiap daerah mempunyai keistimewaannya sendiri.
“Kita mahu setiap kampung mempunyai cerita yang boleh dikongsikan.
“Kita mahu setiap produk tempatan menemui pasarannya.
“Dan kita mahu setiap rakyat menjadi duta yang memperkenalkan Negeri Sembilan kepada dunia,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata, kejayaan sektor pelancongan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program yang dianjurkan semata-mata, sebaliknya melalui peluang pekerjaan yang diwujudkan, pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan yang dapat dinikmati oleh rakyat.
Program Pelancongan Budaya Festival Rentak Negeri 2026 merupakan program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan.



