YB Kita

Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sembilan erat hubungan kekeluargaan

KUALA PILAH: Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sembilan 2026 yang berlangsung di Dataran Melang di sini pada Ahad berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan bertemakan “Seteguh Kasih Bapa”.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, beliau berbesar hati dapat merasmikan sambutan tahunan itu yang bertujuan menghargai jasa serta pengorbanan golongan bapa dalam institusi keluarga.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung termasuk pertandingan teh tarik, sesi menonton FIFA Piala Dunia, pertandingan sepak penalti serta aktiviti untuk kanak-kanak.

Selain itu, katanya, orang ramai turut menikmati makanan percuma, Jualan RAHMAH MADANI bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan serta perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pergigian percuma yang disediakan oleh Klinik Gigi Kuala Pilah.

“Acara tahunan ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan sesama keluarga terutama golongan bapa yang sentiasa sibuk dengan urusan mencari rezeki.”

Beliau berharap program seumpama itu dapat mengingatkan masyarakat mengenai pengorbanan dan perjuangan setiap bapa dalam membesarkan keluarga.

“Semoga sedikit sebanyak aktiviti yang disediakan ini dapat membantu mengingatkan kita tentang pengorbanan dan perjuangan setiap bapa dalam rumah kita.”

Dalam pada itu, Noorzunita turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan yang diketuai Pengarahnya, Azlan Mohd Salleh, serta Wadani Negeri Sembilan selaku penganjur utama sambutan tahun ini.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa atas segala jasa dan pengorbanan mereka dalam membina institusi keluarga yang sejahtera.

Show More

Related Articles

Back to top button